
Penyanyi Azharina Azhar baru sahaja melancarkan lagu patriotik pertamanya berjudul Gunung Kinabalu.
Lagu ini menampilkan duet istimewa bersama sepupunya sendiri yang juga penyanyi, Daniesh Suffian.
Hasil karya ini bukan sekadar meraikan negeri Sabah, tetapi juga sebagai penghormatan kepada Allahyarham Datuk Haji M.Y. Ismail, tokoh keluarganya yang amat disanjungi.
Gunung Kinabalu merupakan adaptasi daripada sebuah lagu lama yang pernah dinyanyikan oleh Surianah Mansahyang juga ibu kepada Daniesh dan artis pop terkenal Sabah pada era 1990-an.
Versi baharu ini diolah semula oleh Azharina dan Daniesh dengan susunan muzik segar serta lirik yang lebih sesuai dengan semangat kecintaan terhadap negeri dan tanah air.
Menyifatkan impian sudah menjadi realiti, Azharina turut meluahkan rasa bangga dapat menghasilkan karya ini.
“Ini adalah lagu patriotik pertama saya dan saya amat bersyukur kerana dapat menyanyikannya sebagai anak Sabah.
“Lebih membahagiakan, saya dapat bekerjasama dengan sepupu saya sendiri, Daniesh.
“Kami sangat rapat, jadi projek ini terasa sangat istimewa. Saya harap akan ada lebih banyak kolaborasi seperti ini pada masa hadapan kerana ia mengangkat warisan keluarga dan tanah kelahiran kami,” katanya.

Ikon Sabah Jadi Inspirasi Lagu
Sementara itu bagi Daniesh, kerjasama ini bukan sekadar kolaborasi profesional tetapi juga momen peribadi yang penuh emosi.
“Projek ini memberi saya peluang baharu dalam karier. Bekerjasama dengan Azharina, yang juga sepupu, membawa rasa istimewa.
“Kami dapat merasakan chemistry yang kuat sepanjang proses rakaman. Kami juga menerima banyak maklum balas positif daripada peminat sejak beberapa cover lagu kami dimuat naik di TikTok dan media sosial lain.
“Ramai yang menyokong dan meminta kami teruskan kerjasama ini,” jelasnya.
Tambah Azharina, Gunung Kinabalu dipilih sebagai judul dan tema utama kerana ia menjadi simbol kekuatan, ketabahan dan kebanggaan rakyat Sabah.
Gunung ini bukan hanya ikon geografi, tetapi juga lambang jati diri dan semangat rakyat negeri di bawah bayu.
Lagu Gunung Kinabalu ini juga telah dilancarkan secara rasmi pada 3 September 2025 bersempena Hari Malaysia.
Ia boleh didengar di semua platform digital utama termasuk Spotify, Apple Music dan YouTube Music.
Video muzik rasmi juga telah dilancarkan serentak dan turut menjadi antara antara tontonan utama sempena Hari Malaysia tahun ini.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini
View this post on Instagram
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!




