Seramai lebih 30 selebriti termasuk penyanyi dikir dan penceramah dijangka bakal memeriahkan Kelate Charity Festival 2025 (KC Fest 2025) yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Kelantan bermula 17 hingga 20 September ini.
Festival amal anjuran bersama Madoo Bee, Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan dan HMS Maju Group ini mengetengahkan slogan ‘Kasih Disemai, Rezeki Dikongsi, Budaya Kelate’ serta bakal melibatkan ramai selebriti yang dekat di hati masyarakat tempatan.
Wakil penganjur merangkap koordinator KC Fest, Muhammad Nazrin Mohamad Isa berkata, penglibatan artis memainkan peranan penting untuk menarik orang ramai ke program amal ini.
Antara selebriti yang bakal menjayakan festival ini ialah Datuk Awie, Datuk Nash, Faizal Tahir, Senario, Ameng Spring, Caliph Buskers, Aris Ariwatan, Halim Yazid, Bob Sentuhan dan ramai lagi, termasuk lebih 20 penyanyi dikir.
“Program amal ini memang amat dekat di hati saya dan semua artis yang menyertainya. Saya rasa berbesar hati apabila ramai selebriti sudi menyokong festival amal ini.
“Saya percaya sebagai artis atau selebriti, mereka boleh guna bakat dan populariti yang ada untuk menggalakkan masyarakat supaya ambil bahagian dalam program amal sebegini.
“Sebagai penganjur, pemilihan artis dibuat dengan teliti dan mengambil kira cita rasa masyarakat Kelantan yang sukakan hiburan santai, mesra keluarga serta bercorak budaya.
“Apa yang istimewa, kami gabungkan artis kebudayaan tempatan, penyanyi terkenal tanah air, ikon masyarakat dan juga penceramah. Semua ini untuk pastikan festival ini benar-benar dekat di hati rakyat,” katanya yang mensasarkan 50,000 pengunjung ke KC Fest kali ini.
Ads
Selain persembahan artis dan pelbagai gerai jualan, pengunjung juga akan disajikan dengan aktiviti lain seperti Kelate Charity Walk yang bakal dihadiri Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra.
Segmen Malam Kerohanian pula akan menyaksikan 1111 peserta selawat dalam Selawat Perdana, disertai sesi perkongsian ilmu oleh Ustazah Asmak Husin dan artis jemputan, Angeline Tan.
Manakala Malam Kebudayaan akan memecah rekod dengan persembahan 1111 pendikir di satu pentas besar sebelum ditutup dengan pertunjukan bunga api.
Dana & Harapan Festival
Sementara itu, Pengarah Eksekutif KC Fest, Muhammad Kamal Azmi Mohd Radin menjelaskan KC Fest 2025 turut meraikan 500 orang asnaf dengan sumbangan daripada penaja termasuk Maybank, Bank Muamalat dan Agro Bank.
Ads
Menurutnya, festival ini adalah satu bentuk tanggungjawab sosial dan usaha untuk membantu golongan yang memerlukan.
“Matlamat utama festival ini adalah untuk menggerakkan semangat kebajikan dan kesatuan rakyat. Kita mahu sampaikan mesej bahawa rezeki boleh dikongsi, kasih sayang boleh disemai dan budaya boleh terus dipelihara.
“Dana festival ini yang diperoleh daripada sewaan booth dan penjualan pakaian akan disumbangkan ke tabung KC Fest 2026. Insya Allah, kami sasarkan sebanyak RM500,000 untuk tabung tersebut.
“Hasil daripada festival ini akan disalurkan kepada golongan asnaf dan mereka yang memerlukan. Bagi saya, ini penting agar masyarakat dapat melihat bahawa hiburan dan kebajikan boleh berjalan seiring sekaligus mendatangkan manfaat besar,” ujarnya.
Tambahnya lagi, Kelantan dipilih sebagai lokasi kerana negeri ini kaya dengan budaya, tradisi dan semangat kebersamaan yang kuat.
Ads
“KC Fest sebenarnya membawa mesej bahawa budaya, kesenian dan kebajikan boleh digabungkan dalam satu platform besar. Kelantan mempunyai keunikan tersendiri daripada sudut warisan seni, makanan tradisi sehinggalah kekuatan komuniti.
“Kita mahu Kelantan jadi titik permulaan sebelum festival ini dibawa ke peringkat lebih luas, sekaligus memperkenalkan budaya Kelantan yang sebenar kepada seluruh negara,” katanya.
Kamal Azmi turut berharap KC Fest dapat menjadi simbol perpaduan rakyat.
“Harapan kami agar KC Fest menjadi sebuah platform tahunan yang bukan sahaja menghiburkan rakyat, tetapi juga membina semangat bersatu hati dalam membantu golongan yang memerlukan.
“Kami mahu jadikan Kelantan contoh kepada negeri-negeri lain di mana budaya, hiburan dan kebajikan boleh digabungkan dalam satu festival.
“Insya Allah, kami berharap KC Fest dapat diangkat menjadi acara rasmi negeri Kelantan setiap tahun, demi rakyat, budaya dan kebajikan,” tambahnya lagi.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!
Pengarah, Dr. Ahmad Idham menafikan adegan di tub mandi yang dilakonkan pelakon Sophia Albarakbah dalam filem seram terbaharu, Tembuni Berdarah sengaja dibuat sebagai pelaris demi menarik perhatian penonton ke pawagam.
Menurut Ahmad Idham, babak tersebut adalah sebahagian daripada jalan cerita yang bertujuan menambah elemen seram.
“Saya buat babak di tub mandi itu untuk menunjukkan kesan khas daripada dalam air. Pada awalnya, saya rancang untuk buat di kolam renang tapi bila difikirkan semula, macam pula nak buat kesan darah dan buih-buih itu.
“Saya tanya kepada Sophia, dia berani ke? Dia kata okay sahaja. Kalau betul saya buat babak itu untuk tarik penonton, saya dah letak potongan itu dalam trailer,” katanya kepada MH.
Ahmad Idham berkata demikian ketika ditemui di majlis tayangan perdana Tembuni Berdarah, baru-baru ini.
Pada masa sama, beliau akui terkilan apabila usaha menaikkan standard filem tempatan sering kali berdepan halangan daripada segelintir pihak.
“Pada saya, babak itu tidak berlebihan. Lagipun, Sophia mengenakan bodysuit. Tak kisahlah siapa nak kecam pun. Yang penting penonton masuk panggung.
“Sebagai pengkarya, bila kita berusaha untuk ke satu tahap yang baharu, akan ada orang yang tarik semula kita ke bawah. Bila masa kita nak maju?
“Semua orang nak kita maju ke hadapan. Bila kita bawa sesuatu di luar norma, kita ditarik semula. Jadi, bila nak naiknya?” ujarnya.
Ahmad Idham turut meluahkan kebingungannya dengan sikap sesetengah penonton yang mahu peningkatan karya tempatan, tetapi pada masa sama enggan menerima perubahan.
“Dalam dunia perfileman ini, ada banyak perkara yang boleh kita teroka lagi. Namun, kalau kita asyik fikirkan apa kata netizen, kita akan selamanya berada di takuk yang lama.
“Bila kita buat karya yang di bawah par, nanti orang persoalkan adakah kemampuan kita setakat itu sahaja? Ada kalanya saya jadi bingung.
“Bila kita buat sesuatu yang lain, mereka tetap persoalkan perlu ke babak seperti ini? Hal ini biasa sangat berlaku kepada pengkarya seperti kami,” katanya lagi.
Bagaimanapun, beliau tetap menerima kritikan dengan hati terbuka.
“Bukan nak kata saya tak peduli apa kata netizen. Komen yang positif, saya akan tetap terima. Yang negatif pula, saya akan menilai dahulu.
“Saya kena nilai sama ada komen negatif itu datang dengan keikhlasan untuk membantu memajukan karya saya atau niat mereka memang nak menjatuhkan orang.
“Manusia ini rambut sama hitam tapi hati lain-lain,” akhirinya.
Filem Tembuni Berdarah bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 25 September ini.
Selain Sophia, filem ini turut dibintangi barisan pelakon seperti Niezam Zaidi, Khatijah Tan, Sharifah Shahora, Riezman Khuzaimi dan Mia Nasir.
Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara.
Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!
Filem sering menjadi cermin yang menampilkan wajah sebenar sebuah bangsa. Dalam konteks Malaysia, layar perak bukan sahaja merakam kisah hiburan, tetapi turut menjadi medium menyemai semangat patriotik, muhibah dan kebersamaan.
Kini, beberapa karya agung tempatan yang mengangkat nilai perpaduan boleh ditonton semula menerusi Astro One dan sooka dengan barisan selebriti popular turut menyarankan pilihan mereka untuk rakyat sama-sama hayati. Mudah sahaja semuanya di hujung jari.
Pelakon Amelia Henderson memilih Ola Bola sebagai naskhah yang wajar diulang tonton. Filem berlatarkan era 1970-an itu mengisahkan pasukan bola sepak Malaysia yang berbilang kaum, menempuh kesukaran demi mengharumkan nama negara di pentas Olimpik. Semangat setiakawan dan kesungguhan pasukan itu menjadi simbol bagaimana perbezaan latar bukan halangan untuk mencapai kejayaan.
Aktor Sean Lee pula menyarankan Lee Chong Wei: Rise of the Legend, kisah benar tentang perjalanan seorang anak Malaysia daripada kehidupan serba kekurangan hingga menjadi ikon sukan dunia. Filem ini mengangkat nilai kerja keras, ketabahan dan rasa bangga terhadap tanah air, inspirasi yang cukup dekat dengan jiwa rakyat.
Manakala, pengacara tersohor Malaysia, Datuk Aznil Hj. Nawawi memilih 1957: Hati Malaya sebagai karya yang wajib ditonton semula. Filem lakonan Maya Karin dan Rusdi Ramli ini bukan sahaja merakam detik kemerdekaan, malah membangkitkan semangat patriotisme dalam kalangan penonton, khususnya generasi muda yang perlu mengenali erti merdeka sebenar.
Sementara itu, hos dan pelakon, Prem Shanker mengetengahkan Rise: Ini Kalilah sebagai pilihan. Filem yang berlatar Pilihan Raya Umum 2018 ini mengisahkan enam rakyat Malaysia dengan latar kehidupan berbeza tetapi saling bertaut, memperlihatkan cita-cita bersama untuk sebuah negara yang lebih baik. Ia mengingatkan bahawa masa depan hanya boleh digapai jika rakyat berdiri sebagai satu.
Selain pilihan selebriti ini, terdapat juga filem lain yang wajar diberi perhatian. Leftenan Adnan menampilkan pengorbanan wira negara yang gugur demi mempertahankan tanah air daripada tentera Jepun, manakala Bukit Kepong merakam keberanian anggota polis menentang serangan komunis pada tahun 1950.
Kedua-dua karya ini menjadi simbol bahawa keamanan yang kita nikmati hari ini dibayar dengan harga pengorbanan yang tidak ternilai.
Filem box-office, The Journey pula mengetengahkan sisi kekeluargaan dengan mesej perpaduan yang lebih lembut tentang kisah seorang ayah konservatif yang akhirnya menerima perbezaan budaya dalam perkahwinan anaknya.
Begitu juga dengan Kampung Pisang Kita Setandan yang memaparkan solidariti kampung Melayu membantu seorang pemuda Cina untuk mengahwini gadis pilihannya, membuktikan perpaduan boleh lahir dalam bentuk paling sederhana.
Pilihan selebriti ini, disokong dengan deretan karya patriotik lain, membuktikan bahawa filem tempatan bukan sekadar karya seni, tetapi juga wadah pendidikan jiwa. Dari medan perang hingga ke padang bola, dari balai polis terpencil hingga ke lorong keluarga desa, semua filem ini mengangkat mesej bahawa muafakat adalah akar kepada Malaysia.
Hakikatnya, filem-filem ini bukan hanya tontonan pengisi masa lapang. Ia adalah teks budaya yang merakam jiwa bangsa, mengingatkan kita bahawa Malaysia berdiri atas keberanian, kasih sayang dan pengorbanan bersama. Dalam dunia hari ini yang mudah terbelah oleh prasangka, karya-karya sebegini tampil sebagai titian yang merapatkan jurang dan menyatukan hati rakyat.
Maka, jom usha filem-filem penyatu bangsa ini hanya melalui Astro One & sooka. Hayatilah bagaimana setiap kisah yang merentas budaya, mampu menyatukan hati kita sebagai rakyat Malaysia.
Suka rancangan dan drama terbaharu? Nikmati hiburan tempatan dan antarabangsa tanpa henti dengan Astro One — kini dengan bundle eksklusif Disney+ Hotstar dan HBO Max, dari RM69.99/sebulan.
++Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!
Penyanyi Zizi Kirana yang kini mengikuti misi bantuan ke Gaza melalui jalan laut berkongsi pengalaman apabila beberapa buah kapal pelayaran yang turut serta dikejutkan dengan kehadiran dron pemantauan.
Menurut Zizi, meskipun dron tersebut tidak mendekati kapal yang dinaikinya, mereka tetap mengambil langkah berjaga-jaga.
“Seperti mana yang telah dilaporkan di Instagram Global Sumud Flotilla, di mana ada kapal-kapal yang turut sama belayar telah didatangi dron pemantauan.
“Bagaimanapun, dron tersebut tidak datang ke kapal kami. Kami memang berlayar secara berkumpulan. Selepas mendapat info tersebut, kami diminta untuk memakai jaket keselamatan,” katanya.
Zizi berkongsi perkara itu menerusi hantaran video di Instagram pada Rabu. Katanya lagi, dron berkenaan beredar setelah beberapa minit membuat pemantauan.
“Memang semua kapal sedar akan kehadiran dron pemantau tersebut. Tapi setelah menunggu beberapa minit, alhamdulillah dron tersebut sudah tiada.
“Mungkin mereka tahu yang kami juga tahu tentang kehadiran mereka,” ujarnya lagi.
Dalam hantaran sama, isteri kepada pelakon Yusuf Bahrin itu turut memaklumkan keadaan mereka masih terkawal dan memohon orang ramai agar tidak putus berdoa.
“Alhamdulillah, keadaan kami okay sahaja di atas kapal ini. InshaAllah, doakan semoga pelayaran ini terus sampai ke Gaza dan bantuan-bantuan yang kalian sumbangkan itu berjaya disampaikan.
“Diharapkan benteng atau kepungan yang dibuat ke atas Gaza ini dapat dipecahkan. Teruskan berdoa,” kongsinya lagi.
Untuk rekod, Zizi antara aktivis yang menyertai Misi Global Sumud Flotilla, sebuah usaha bersejarah menghimpunkan rakyat dunia dalam usaha memecahkan sekatan haram rejim Israel terhadap Gaza. Selain Zizi, pelakon Ardell Aryana turut berada dalam misi tersebut.
Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara.
Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!
Penyanyi Mell Sakura mengakui hatinya tersentak apabila kemunculan semulanya di Gegar Vaganza musim ke-12 (GV12) disifatkan oleh segelintir pihak sebagai sesuatu yang menjijikkan.