
Pengacara terkenal, Awal Ashaari mengakui dirinya masih mempunyai keinginan untuk menimang seorang lagi cahaya mata bersama isteri yang juga pelakon, Scha Alyahya.
Bagaimanapun, selain faktor usia dan kesihatan, Awal merasakan terdapat banyak perkara lain yang perlu diambil kira sebelum mereka meneruskan perancangan untuk menambah ahli keluarga.

“Saya hanya bergurau sahaja. Tersasul pula cakap fasal next baby. Saya memang ada keinginan tapi sebagai manusia, banyak faktor yang kita perlu fikirkan seperti umur, kewangan dan kesesuaian.
“Kami sudah berpengalaman punyai anak yang jarak usianya agak besar. Bila jantina sama itu, dia punya rival itu agak ‘wow’. Bukan kita sahaja perlu bersedia, kita juga kena tahu sama ada anak-anak bersedia atau tidak nak sambut kehadiran adik bongsu.
“Saya pun bukan muda lagi. Kita doakan sahaja yang terbaik,” katanya kepada MH.
Pelakon filem Impak Maksima itu berkata demikian ketika ditemui di majlis pelancaran Ayaaya koleksi The Nexx di Club21Lab, Shoppes at Four Seasons Place, Kuala Lumpur, pada petang Isnin.
Rindu Suasana Ada Anak Kecil
Menurut Awal, dia akui ada ketika rindukan suasana ketika anak-anaknya masih kecil dan tidak menolak kemungkinan untuk menimang cahaya mata lagi sekiranya dikurniakan rezeki.

“Saya tak menolak. Kalau diberikan rezeki, alhamdulillah. Cuma realitinya kene melihat juga keadaan semasa. Bercakap soal faktor usia, rasanya ramai sahaja mereka yang berumur tapi masih dikurniakan rezeki.
“Saya juga tidak menidakkan. Kalau tanya saya, dapat seorang lagi cahaya mata pun macam best juga.
“Saya dan Scha agak berbeza. Scha lebih suka bila anak-anaknya sudah besar. Saya pula suka yang baby. Saya jenis yang suka gomol dan bergurau dengan anak kecil. Bila tiada anak kecil, rasa rindu pula,” kongsinya lagi.
Perbincangan Bersama Isteri
Dalam masa sama, Awal menegaskan dia tidak boleh mementingkan diri sendiri dan ada berbincang secara serius bersama isterinya mengenai perkara tersebut.

“Kami memang ada berbincang soal cahaya mata. Hujung tahun hari itu pun Scha ada bertanya. Macam mana perancangan kita? Betul ke nak anak seorang lagi? Saya kata, saya okay sahaja kalau ada rezeki.
“Namun, sebagai wanita, Scha bagitahu dia perlu buat persediaan. Dia tak boleh terlalu lasak terutamanya bila pergi ke gym. Tak boleh nak buat latihan yang intensif.
“Katanya kalau betul nak, dia perlu buat perancangan betul-betul,” ujarnya.
Selain itu, Awal turut mengakui faktor kewangan juga menjadi pertimbangan utama, lebih-lebih lagi dalam keadaan ekonomi semasa yang mencabar.

“Dahulu, bila anak-anak masih kecil, kita tak perlu risaukan tentang yuran sekolah dan kelas-kelas tambahan. Bila kita buat kira-kira untuk seorang anak, agak pening juga bila melihat perbelanjaan bulanan mereka.
“Namun, segala perkara itu merupakan keperluan. Ada kalanya anak-anak kita perlukan bantuan untuk satu-satu subjek di sekolah. Mereka perlukan kelas tambahan atau tuisyen.
“Mereka juga perlu belajar skil-skil lain seperti berenang dan bermain muzik. Seperti Lara pula, dia sudah masuk sekolah menengah dan perbelanjaannya makin berganda. Namun, saya tak pernah merungut.
“Jadi, kita perlu buat perancangan yang betul kalau nak ada anak lagi,” akhirinya.
Untuk rekod, Awal Ashaari dan Scha Alyahya mendirikan rumah tangga pada 4 Mei 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata perempuan, iaitu Lara Alana dan Lyla Amina.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!




