
Pelakon, Alya Iman sanggup mengurungkan diri di rumah selama enam bulan bagi memberikan sepenuh tumpuan untuk menurunkan berat badan.
Menurut Alya atau nama sebenarnya, Nur Alya Iman Azmil, dia menganggap 2025 sebagai tahun yang agak mencabar dan dia memerlukan ruang untuk kembali menguatkan mental dan fizikalnya.

“2025 merupakan tahun yang agak ‘mellow’ bagi saya. Selama enam bulan, saya hanya duduk di rumah untuk merehatkan mental dan fizikal selain fokus untuk kembalikan berat badan yang ideal.
“Alhamdulillah, rezeki saya pada awal tahun 2025 itu tidak putus. Jadi, saya ada masa untuk berehat seketika dan kembali buat comeback pada tahun 2026.
“Kini, saya nampak jalan itu sudah semakin cerah,” katanya kepada MH.
Alya berkata sedemikian ketika ditemui di majlis sidang media kempen Ramadan dan Raya TV3, Jwanjih Drama!, baru-baru ini.
Alya bakal muncul menerusi drama terbaharu berjudul, Bila Cinta Menjadi Dosa yang akan ditayangkan bermula 27 Fabuari ini di TV3.

Terkesan Dengan Kritikan Fizikal
Jelas Alya lagi, dia mengambil keputusan drastik untuk berkurung di rumah kerana terkesan dengan kata-kata segelintir pihak yang sentiasa merendahkan penampilan dan fizikalnya.

“Pada saya, pelakon juga manusia. Kita ada perasaan. Apa yang mereka perkatakan, ia seolah-olah bercakap terus di hadapan muka kita. ‘Alya, awak nampak gemuk’. Ia memang menyakitkan hati.
“Namun, sebagai pelakon, saya faham yang kita memang sentiasa perlu menjaga penampilan serta harus terlihat cantik dan sempurna di hadapan layar.
“Selama enam bulan itu, mental saya agak terkesan disebabkan hanya duduk di rumah untuk kuruskan badan. Namun, saya tetap melihat ia daripada sudut positif.
“Apa yang saya buat ini adalah untuk kebaikkan diri sendiri dan kerjaya. Secara tidak langsung, ia turut memulihkan kesihatan mental saya,” ujarnya.
Turun 20 KG & Pilih Cara Sendiri
Dalam masa sama, anak kepada pelakon Allahyarham Azmil Mustapha ini akui bersyukur kerana usaha kerasnya untuk menurutkan berat nyata berbaloi.

“Saya mengamal diet pemakanan dan latihan di gym setiap hati. Saya memang sasar untuk terus menurunkan berat badan lagi. Setakat ini, saya telah menurunkan berat badan banyak 20 kilogram.
“Saya bukannya nak terlalu mengikut beauty standard industri seni. Pada saya, apa yang saya kecapi ketika ini adalah rezeki daripada Allah. Biarlah orang melihat kita ini ada pakej. Wajah cantik dan boleh berlakon.
“Saya tak mahu orang kata kita ini boleh jadi pelakon sebab cantik sahaja. Namun, saya tak cuba puaskan hati orang lain. Saya hanya menjadi diri sendiri.
“Saya bukan seorang yang tergedik-gedik. Rasanya semua orang tahu yang saya agak kasar. Saya kuruskan badan kerana mahu terus kekal berada di dalam industri seni,” katanya lagi.
Jalan Pintas Untuk Kurus
Ditanya mengenai pandangannya terhadap segelintir pihak yang sanggup mengambil jalan pintas untuk menurunkan berat badan, Alya menyifatkan setiap orang punyai pilihan mereka sendiri dan tahu tentang risiko yang bakal mereka hadapi.

“Saya tak menilai orang lain yang mengambil supplement atau ubat kurus. Itu pilihan masing-masing. Bagi saya, kita cubalah dahulu apa yang terbaik untuk diri kita sendiri.
“Saya sanggup potong gula sampai jadi hypo. Minggu lepas, saya sampai pitam di set penggambaran sehinggakan dihantar ke unit kecemasan. Bacaan gula saya pernah ditahap tiga.
“Bukan setakat ambil ubat-ubatan ini sahaja yang tak sihat, turun berat secara semula jadi juga ada kalanya boleh jadi tidak sihat jika tidak dijaga dengan betul,” akhirinya.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!




