
Pelakon Uqasha Senrose menitipkan nukilan istimewa buat anak perempuannya, Hawra Uqaira, yang bakal menginjak usia dua tahun tidak lama lagi.
Menurut Uqasha, dia akan sentiasa berusaha menjaga amanah Allah ini sebaik mungkin, sambil menegaskan dia tidak perlu dikasihani oleh sesiapa.
View this post on Instagram
“Uqasha ialah ibunya dan Uqaira nyawa saya. Saya sanggup lakukan apa sahaja untuk melindungi awak walau perlu gadai nyawa sekali pun. Bubu sanggup.
“Kita tak perlu orang kesiankan dekat kita. Selagi saya ada awak, kita akan sentiasa bersama. Awak dunia saya,” tulisnya.
Coretan penuh makna itu dikongsikan pelakon filem Munajjim: Sekutu Iblis itu menerusi hantaran terkini di Instagram miliknya.
Uqasha turut mengakui, walaupun dirinya tidak sempurna, dia akan berusaha menjadi ibu terbaik untuk anaknya.

“Satu hari nanti, awak akan ada kawan sendiri, meningkat remaja, waktu serta kehidupan sendiri dan jumpa orang yang tepat, awak tetap akan tinggalkan saya.
“Tapi ingatlah, saya sudah pun lakukan sehabis baik untuk membesarkan, melindungi, menyayangi, mencintai, menjaga dan pastikan hidup awak selamat.
“Saya minta maaf kerana tidak dapat menjadi ibu yang terbaik. Tapi percayalah, sewaktu awak dilahirkan, saya sentiasa belajar untuk menjadi ibu yang terbaik.
“Uqaira amanah Allah untuk ibu jaga sebaiknya. Saya akan jaga amanah ini selagi sahaja hidup. Jadilah anak yang solehah. Kita sama-sama mengaji dan solat,” kongsinya lagi.
Kekuatan Seorang Ibu
Dalam pada itu, Uqasha turut menzahirkan rasa syukur kerana sentiasa diberikan kekuatan oleh Allah, meskipun terpaksa melalui fasa kehamilan seorang diri.

“Sehingga kini, saya tak percaya yang saya ada anak satu. Semasa ibu mengandungkan Uqaira, sikit pun ibu tak mengidam dan langsung tiada alahan.
“Ibu seorang yang penakut dan tak boleh tidur seorang tapi bila Uqaira ada dalam perut, ibu berani tidur sorang-sorang untuk sembilan bulan. Kebanyakan waktu pun saya makan sorang-sorang.
“Malah, ketika dalam kandungan, ibu rajin masak. Alhamdulillah Allah permudahkan. Masa puasa, hari-hari ibu masak dan pack sorang-sorang bawa makanan pergi berbuka rumah Auntie Nelydia Senrose,” ujarnya.
Uqasha berkata lagi, dia akan menikmati setiap momen indah ini untuk diabadikan selama-lamanya.

“Sampai sekarang, saya selalu lihat awak. Tidur sambil peluk tangan ibu dan habit awak yang suka main dengan telinga ibu sebelum tidur. Besar dah awak. Dah nak masuk dua tahun lagi lima bulan.
“Jangan cepat membesar sangat ya. Apapun yang terjadi, awak akan sentiasa menjadi rezeki dan baby girl saya,” kongsinya lagi.
Uqaira merupakan cahaya mata hasil perkongsian hidup Uqasha bersama suaminya, aktor Kamal Adli.
Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 5 November 2021 di Janda Baik, Pahang, dan dikurniakan cahaya mata pada April 2024.
Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara.
Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini
Sumber & Kredit Foto: Instagram Uqasha Senrose
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!




