Berita

Astro X Festival ULTRA5G U Mobile: Persembahan Spektakular! Aisha Retno, Adira Suhaimi & Sharul Kamal Gegar Kota Kinabalu!

Share

Hujung minggu lalu, Astro selaku peneraju Home of Live bekerjasama dengan syarikat telco terkemuka, U Mobile, untuk menganjurkan acara muzik terbesar, Festival ULTRA5G U Mobile: Cara U Sabah, yang berlangsung selama tiga hari di Jetty DBKK, Kota Kinabalu, Sabah.

Penganjuran festival ini bukan sekadar menampilkan persembahan pentas semata-mata, malah turut disertakan dengan pelbagai aktiviti menarik yang memperkukuh jenama Astro sebagai “Home of Live Entertainment” melalui pengalaman hiburan secara langsung, selain program hiburan yang boleh distrim di Astro One dan Sooka.

Berlatarbelakangkan keindahan Jetty Kota Kinabalu yang sinonim sebagai lokasi tumpuan pelancong, festival ini turut menjadi platform untuk Astro mendekati masyarakat tempatan yang sekian lama menyokong kandungan hiburan terbitannya seperti Gegar Vaganza, Big Stage, Talk To My Manager dan banyak lagi.

Sebagai tanda penghargaan, Astro membawakan barisan bintang yang menjadi tunjang kejayaan program-program tersebut, sekali gus menyajikan pengalaman hiburan bertaraf besar kepada warga Sabah.

Aisha Retno, Adira, Sharul Kamal & Barisan Artis Lain Gegar Pentas!

Bagi penyanyi dan komposer, Aisha Retno, penglibatannya dalam

Festival ULTRA5G U Mobile: Cara U Sabah disifatkan sebagai satu peluang istimewa yang sukar dilepaskan, lebih-lebih lagi apabila diberi kesempatan berkongsi pentas bersama artis tempatan dan antarabangsa.

Menurut Aisha, dia turut teruja kerana dapat bertemu peminat di Sabah dengan lebih dekat.

“Saya sangat teruja kerana ini merupakan kali pertama saya membuat persembahan di program bersama U Mobile dan Astro. Sudah lama juga saya tidak kembali ke Kota Kinabalu untuk membuat persembahan.

“Barisan artis yang membuat persembahan pun sangat ‘gila’. Ada juga rakan-rakan saya dari Indonesia.

“Selepas beberapa tahun saya melancarkan lagu, ramai peminat sabah bertanya bila saya akan datang ke negeri mereka. Kali inisaya tunaikan permintaan mereka,” katanya kepada MH.

Persembahan Aisha pada malam Sabtu berjaya menggamatkan suasana Jetty DBKK menerusi aksi penuh bertenaga dengan medley lagu Sutera dan Jeda, sambil turut mempromosikan Gempak Most Wanted Awards 2025.

Aisha juga tampil ‘sporting’ apabila memenuhi permintaan peminat dengan menyanyikan single terbaharunya bersama Aziz Harun berjudul Kota Ini Tak Sama Tanpamu secara spontan.

Sementara itu, penyanyi popular asal Sabah, Adira Suhaimi berpendapat bahawa sambutan luar biasa warga Kota Kinabalu pada malam Ahad lalu bukanlah sesuatu yang mengejutkan.

Adira berjaya memberikan persembahan vokal memukau bersama penyanyi Noryn Aziz melalui beberapa lagu duet yang dipersembahkan secara medley seperti Bukan Lagi Kita, Senggol Senggolan Cubit-Cubitan, Merah dan Akhirnya Kini Pasti, yang direka khas buat warga Kota Kinabalu.

Medley tersebut berjaya mengajak para pengunjung menari dan terus memeriahkan suasana malam itu.

“Alhamdulillah, orang Kota Kinabalu memang sangat happening. Persembahan juga berjalan dengan sangat

lancar seperti yang dirancang.

“Memang beginilah sambutan orang Sabah. Kalau ada artis yang datang, mereka tetap akan memberikan sokongan luar biasa tanpa mengira siapa pun artis tersebut.

”Kami yang menyanyi inipun jadi lebih bersemangat. Duet bersama Noryn sebenarnya dirancang tak sampai seminggu, dan Noryn banyak membantu.

“Bila Noryn bagi idea untuk berduet, takkanlah saya tidak beri juga. Kami sama-sama beri energi keserasian kami pun kuat,” kongsinya.

Dalam pada itu, Sharul Kamal turut mencuri perhatian menerusi persembahan spektakular dan bertenaga melalui lagu Sifar dan It’s My Life.

Sharul mengakui dia berasa sedikit gemuruh untuk memenuhi ekspektasi peminat di Sabah yang terkenal dengan pengetahuan muzik yang luas.

“Saya sebenarnya agak gemuruh juga. Ini merupakan kali pertama saya buat persembahan di Kota Kinabalu. Saya tahuorang-orang Sabah ini sangat handal dalam bidang muzik.

“Kehidupan mereka juga banyak dipengaruhi dengan muzik. Jadi, kita perlu tunjukkan yang orang semenanjung juga punyai kualiti yang setaraf,” katanya.

Antara momen paling mencuri tumpuan ialah apabila Sharul menghadiahkan jaket yang dipakai ketika persembahan kepada peminat bertuah.


Festival ini turut dimeriahkan dengan persembahan berterusan daripada barisan artis jemputan U Mobile seperti Stacy, Akim, Bella Astillah, Dolla dan Noh Salleh.

Selain itu, pengunjung juga berpeluang menyaksikan persembahan ‘galau’ istimewa daripada dua penyanyi Indonesia, Kaleb J dan Steva Pasaribu.

Festival ULTRA5G U Mobile: Cara U Sabah turut disempurnakan dengan kehadiran barisan artis tempatan seperti K-Clique, Jimmy Palikat, Isobathos, Rey Guntabid, Elica Paujin dan Gretchene.

Sukses Satukan Hiburan, Komuniti & Aura Borneo

Secara keseluruhan, kolaborasi

Astro dalam Festival ULTRA5G U Mobile: Cara U Sabah berjaya mencipta fenomenanya tersendiri.

Ia bukan sekadar sebuah acara muzik, tetapi satu perayaan besar yang menyatukan ribuan peminat dalam lautan cahaya, sorakan dan energi luar biasa melalui gabungan dua jenama besar.

Sokongan padu rakyat Sabah yang sporting dan penuh semangat menjadikan festival ini antara yang paling meriah, bertenaga dan sukar dilupakan dalam kalendar hiburan tahun ini.

Penganjuran ini juga menjadi bukti kukuh kredibiliti kedua-dua pihak sebagai peneraju hiburan langsung berskala mega, sekaligus mencerminkan komitmen untuk membawa pengalaman bertaraf antarabangsa ke setiap pelosok negara.

Sabah sekali lagi membuktikan bahawa Negeri Di Bawah Bayu ini bukan sekadar destinasi indah untuk dilawati, tetapi juga sebuah pentas utama yang subur dengan muzik, bakat dan aura hiburan yang tiada tandingan.

Semoga akan ada lagi buah tangan daripada Astro dan Festival ULTRA5G U Mobile: Cara Upada masa hadapan!

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini

Published by
Aizam Manaf