
Industri muzik tempatan terus berevolusi dengan kehadiran sebuah kolaborasi berani dan segar menerusi single terbaharu bertajuk Merayu Angan, yang menyatukan ikon suara jiwang Malaysia, Siti Nordiana, bersama artis rap generasi baharu yang sedang meningkat naik, Apit Tearra.
Merayu Angan tampil dengan konsep rap berunsur jiwang leleh, satu pendekatan yang jarang diterokai secara serius dalam landskap muzik tempatan.
Lagu ini menggabungkan emosi cinta yang rapuh dengan susunan rap yang lembut, puitis dan dekat dengan perasaan pendengar, sekali gus menjadikannya relevan untuk khalayak pelbagai latar dan generasi.
Percubaan Berani Siti Nordiana
Antara tarikan utama lagu ini adalah keberanian Siti Nordiana apabila buat pertama kali membawakan elemen rap dalam sesebuah karya.
Dikenali dengan lagu-lagu balada serta vokal penuh emosi, percubaan ini memperlihatkan sisi baharu Siti Nordiana yang lebih segar, matang dan kontemporari, tanpa meninggalkan identiti jiwang yang sinonim dengan dirinya.
“Lagu ini merupakan satu pengalaman yang sangat berbeza buat saya. Ini kali pertama saya mencuba elemen rap dalam sebuah lagu, dan pada mulanya memang ada rasa gementar.
“Namun apabila mendengar keseluruhan konsep lagu ini, saya rasa ia sesuatu yang segar dan jujur.
“Gabungan rap dan jiwang ini membuatkan saya lebih bebas mengekspresikan emosi dengan cara yang baharu,” kata Siti Nordiana.



Identiti Rap Jiwang Yang Tersendiri
Sementara itu bagi Apit Tearra, membawa pendekatan rap yang berbeza daripada kebiasaan arus perdana memberi satu sisi baharu dalam skop muzik yang dibawa.
Menerusi gaya rap jiwang leleh yang beremosi, Apit menyampaikan lirik yang dekat dengan realiti dan perasaan pendengar tempatan, sekali gus meletakkan identitinya sebagai antara bakat baharu yang tampil dengan warna tersendiri dalam industri muzik.
“Saya mahu Merayu Angan menjadi lagu rap yang dekat dengan perasaan orang kita.
“Ia bukan tentang rap yang keras, tetapi rap yang jujur dan leleh.
“Malah peluang untuk bekerja dengan Siti Nordiana juga adalah satu penghormatan besar kerana dia berjaya membawa emosi dan kekuatan vokal yang sangat mendalam, sekaligus menghidupkan lagu ini dengan cara yang saya sendiri tak pernah bayangkan sebelum ini,” katanya.
Kolaborasi ini membuktikan bahawa rap dan jiwang mampu bersatu secara harmoni, sekali gus membuka ruang baharu dalam penerokaan muzik tempatan serta menawarkan sesuatu yang segar kepada pendengar yang mencari kelainan dalam karya muzik arus perdana.
Single Merayu Angan kini boleh distrim di semua platform digital utama.
Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!




