
Penyanyi dan vokalis kumpulan Spider, Tam Mustafah mengakui pernah melalui pengalaman getir apabila anaknya sendiri didakwa pernah menjadi mangsa buli.
Justeru, Tam amat memahami kerisauan ibu bapa terhadap keselamatan anak-anak di sekolah.
Menurutnya lagi, jika budaya buli dibiarkan berleluasa, ia hanya akan membawa padah besar sehingga boleh meragut nyawa.

“Saya sangat terkesan bila ada hal melibatkan buli di sekolah. Buli bukan budaya kita dan harus dihapuskan. Ia tidak memajukan negara.
“Bila ada kes buli sehingga menyebabkan kematian misalnya, sebagai seorang bapa, saya sangat sedih.
“Bila melihat ada anak-anak kita yang dilayan dengan teruk, ia satu perasaan yang tidak seronok,” katanya kepada MH.
Dalam masa sama, penyanyi lagu Relaku Pujuk ini turut berpesan kepada para pelajar supaya berani mempertahankan diri daripada pembuli.

“Anak saya bukanlah mangsa yang teruk kerana dia ada sifat melawan. Sejak awal masuk ke sekolah berasrama, saya sudah maklumkan insiden buli ini boleh jadi akan ada.
“Jadi, saya bagitahu dia untuk melawan. Kalah atau menang, kita letak tepi. Pada saya, mereka yang membuli ini sebenarnya seorang yang penakut dan punyai hati yang berkecamuk.
“Kalau seorang diri, mereka tak berani. Bila ada geng, dia akan rasa diri dia berkuasa. Kita lawan untuk mempertahankan diri,” ujarnya lagi.
Tegas Isu Pemantauan Sekolah
Dalam pada itu, Tam menggesa pihak sekolah serta pihak berwajib mengetatkan undang-undang dan mengambil langkah proaktif menangani isu buli.

“Ketika ini, saya agak kesal dengan sesetengah penglibatan komuniti di sekolah itu sendiri. Peranan mereka agak longgar.
“Sebelum ini, saya pernah bertanya kepada anak saya, kenapa dalam kawasan asrama tiada CCTV?
“Bila sudah ada isu besar, barulah mereka sibuk nak keluar bajet untuk pasang CCTV. Pada saya, para pemimpin kena peka dalam isu ini.
“Jangan sibukkan kempen lain tapi masalah utama tak selesai. Kita faham anak-anak ini masih muda dan senang terdedah dengan perkara-perkara nakal.
“Jika ada pemantauan teknologi, ia akan menghalang anak-anak ini melakukan perkara yang bukan-bukan.
“Malah, jika sekolah ada undang-undang ketat, mereka takkan berani nak membuli. Kita kena cari jalan untuk menghidar daripada sudah berlaku baru nak buat sesuatu,” akhirinya.
Sebelum ini, Tam pernah meluahkan rasa kesal apabila mendakwa anaknya menjadi salah seorang mangsa buli di sebuah sekolah.
Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara.
Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!




