
Anak kepada penyanyi dan pelakon terkenal Indonesia, Bunga Citra Lestari (BCL), Noah Sinclair, kini mengikuti program jangka pendek Youth Fuel Global Winter Camp yang berlangsung di Universiti Oxford, United Kingdom.
Perkara itu dikongsikan sendiri oleh Bunga menerusi satu hantaran di akaun Instagram miliknya ketika menghantar anak lelakinya menyertai program berkenaan.
Menerusi kapsyen ringkas yang dimuat naik, wanita berusia 42 tahun itu menulis, “Drop-off day. Youth Fuel Global Winter Camp, Oxford University. Have a great time there Noah Sinclair.”
Youth Fuel Global Winter Camp merupakan sebuah program pembangunan diri dan kepimpinan antarabangsa yang disertai pelajar muda dari pelbagai negara, dengan Universiti Oxford sebagai lokasi penganjuran program.
Program tersebut bagaimanapun bukan merupakan pengajian ijazah atau kemasukan rasmi sebagai pelajar Universiti Oxford, sebaliknya bersifat kursus jangka pendek yang memberi pendedahan awal dalam bidang kepimpinan, pemikiran kritikal serta isu global semasa.
Penyertaan Noah dalam program berkenaan turut menerima perhatian peminat yang rata-rata mendoakan agar beliau memperoleh pengalaman berharga sepanjang mengikuti kem tersebut.
Untuk rekod, Noah Sinclair merupakan anak tunggal hasil perkahwinan Bunga Citra Lestari dengan aktor Malaysia, Ashraf Sinclair, yang meninggal dunia pada Februari 2020.
Tiga tahun seleas kematian Ashraf, BCL kemudiannya berkahwin dengan usahawan, Tiko Aryawardhana.
++Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan