Usahawan, Datuk Seri Aliff Syukri sekali lagi mencipta kejutan apabila berjaya meraih jualan live streaming terpantas bernilai RM1 juta menerusi platform TikTok Shop, malam tadi.
Pencapaian luar biasa ini telah disahkan secara rasmi oleh Pegawai The Malaysia Book Of Records, Puan Siti Nurhanim Mohd Noh melalui penyerahan sijil penghargaan selepas sesi jualan tersebut berlangsung.
Terdahulu, usahawan selebriti ini telah menyatakan hasrat untuk mencabar dirinya mencatat rekod sebagai The Fastest RM1 Million Handbag Sales Value In A Livestream Sale 2025.
Ads
Ia juga bertujuan membuktikan, jenama beg keluarannya, Anthon’s Leather dan AS Bag, merupakan pilihan utama pembeli kerana berkualiti tinggi, namun kekal mampu milik.
Ads
Atasi Rekod Khairul Aming
Dengan mempertaruhkan produk Bag Samma Denim Edition pada harga promosi RM75 seunit, Aliff berjaya mencatat kutipan RM1 juta dalam masa hanya 2 minit 32 saat, sekali gus memecahkan rekod sedia ada milik Khairul Aming yang sebelum ini berjaya menjual Sambal Nyet bernilai RM1 juta dalam masa 3 minit 28 saat.
Mengulas lanjut, Dato’ Sri Aliff Syukri bersama isteri, Datin Sri Shahida, melahirkan rasa syukur atas sokongan rakyat Malaysia yang memungkinkan kejayaan ini.
Ads
Menariknya, sepanjang sesi tersebut, para pembeli turut berpeluang memenangi pelbagai hadiah cabutan bertuah seperti sebuah kereta, motosikal, pakej umrah, percutian ke Sugeh Resort, barangan kemas serta perkakasan elektrik untuk 1,000 pembeli bertuah.
Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!
Nama penyampai radio dan pengacara, DJ Sonic mungkin sinonim dengan gelak tawa, muzik ceria dan suara yang sentiasa memeriahkan konti radio.
Namun di sebalik perwatakan yang sering menghiburkan ramai, pemilik nama lengkap, Awang Suffian Awang Hussein ini pernah ‘tenggelam’ dalam satu fasa hitam dalam hidupnya isitu sewaktu pemergian ayah tercinta, Awang Hussin Awang Jinal, pada 29 Februari tahun lalu.
Arwah menghembuskan nafas terakhir akibat masalah dalaman perut ketika DJ Sonic berada di Kuala Lumpur kerana terikat dengan urusan kerja selepas menjaga ayahnya selama seminggu di hospital.
Keadaan ayahnya ketika itu tampak stabil dan dibenarkan pulang ke rumah. Namun tidak lama selepas itu, dia menerima panggilan daripada ibunya memaklumkan ayah kembali dimasukkan ke hospital.
Tanpa berlengah, dia segera menempah penerbangan ke Kapit, Sarawak. Bagaimanapun, takdir mendahului segalanya.
Sebaik pesawat mendarat di Sibu dan telefon bimbit diaktifkan, mesej demi mesej ucapan takziah mula membanjiri skrin.
“Waktu tu saya tak bercakap langsung dalam kereta. Saya cuma menangis.
“Tapi saya bersyukur kerana saya sempat sampai untuk mandikan jenazah ayah sendiri. Saya sempat peluk dia buat kali terakhir,” ujarnya.
Dua minggu selepas pemergian ayahnya, DJ Sonic mengambil keputusan untuk tidak bersiaran di radio.
Menurutnya, dia tidak mampu memaksa diri untuk gembira ketika hati masih hancur.
“On air perlukan emosi yang stabil. Kita kena gembirakan pendengar. Tapi masa tu, saya sendiri pun tak gembira. Saya masih menangis, saya masih rindu,” katanya lagi.
Kesedihan yang berlarutan tanpa diurus dengan baik akhirnya membawa kepada gangguan kesihatan.
Memasuki bulan Jun dan Julai 2024, DJ Sonic mula mengalami kemurungan dan anxiety yang serius.
Berat badannya susut dengan ketara, dan dia tidak mampu bekerja selama sebulan.
Demi mencari ruang untuk sembuh, dia juga pulang ke Kuching untuk dirawat dan dijaga oleh adiknya. Di sana, proses pemulihan perlahan-lahan bermula.
Namun, hanya selepas hampir setahun, DJ Sonic akhirnya berjaya membuka diri untuk benar-benar melepaskan apa yang terbuku.
Malah dia berpeluang mengikuti sesi terapi dan healing bersama Dr Hisyam Dzakiria, seorang figura terkenal dalam bidang pembangunan emosi dan mental, pada awal Ogos lalu.
Dalam sesi itu, DJ Sonic meluahkan secara terbuka mengenai kehilangan ayahnya dan tidak mampu menahan air mata sepanjang lebih satu jam sesi berlangsung.
Bukan sekadar kerana kerinduan, tetapi juga rasa bersalah kerana tidak sempat meluangkan lebih banyak masa bersama arwah semasa hayatnya.
“Saya terlalu sibuk dengan kerja. Saya jarang telefon, jarang bertanya khabar. Bila dah tak ada, baru saya rasa betapa besarnya kehilangan tu,” katanya.
Dr Hisyam dalam sesi tersebut membantu DJ Sonic melihat kembali kisah kehilangan ini dari sudut yang lebih positif.
Dia mengajak DJ Sonic untuk berdamai dengan emosi sendiri, dan menukar rasa bersalah itu kepada satu bentuk penghargaan terhadap kenangan dan kasih sayang yang pernah wujud.
Menurut Dr Hisyam, tidak salah untuk menangis, kerana itu tanda kasih yang dalam.
Tetapi sebagai anak, Sonic juga harus merasa bangga kerana apa yang dilakukan hari ini kerana setiap lagu yang diputarkan, setiap suara yang disalurkan di udara, adalah satu dedikasi kepada insan yang pernah membesarkannya.
“Saya pernah cuba putar lagu kegemaran arwah masa on air, tapi saya terus menangis. Saya belum kuat.
“Tapi bila doktor kata, lagu tu bukan kenangan sedih, tapi satu penghormatan, saya mula ubah fikiran. Sekarang saya cuba redha dan bersyukur kerana pernah ada ayah sebaik itu,” ujar Sonic.
Kini, meskipun masih dalam proses rawatan untuk anxiety, DJ Sonic kembali melangkah hari demi hari dengan semangat yang lebih stabil.
Dia percaya bahawa healing bukan satu destinasi, tetapi satu perjalanan berterusan dan dalam setiap langkah itu, bayangan arwah ayah akan sentiasa bersamanya sebagai kekuatan dan cahaya.
Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!
Penyanyi dan pelakon, Bella Astillah memilih untuk tidak mengulas lanjut mengenai dakwaan peminat apabila lagunya, Lebih Indah Berpisah yang menjadi runut bunyi (OST) untuk drama tempatan sebelum ini telah ditukar.
Menurut Bella atau nama sebenarnya, Dayang Ara Nabellah Awang Astillah, segala hal berkaitan lagu diuruskan sepenuhnya oleh syarikat rakaman.
“Mengenai perkara itu, saya tak boleh nak ulas apa-apa kerana pihak label, Universal Music yang uruskan segalanya.
“Saya belum dimaklumkan lagi mengenai perkara ini,” katanya kepada MH.
Bella berkata demikian ketika ditemui di majlis pelancaran platform pencarian bakat, Social Celeb yang berlangsung di Petaling Jaya Performing Arts Centre (PJPAC), Petaling Jaya pada Selasa.
Pada masa sama, ibu kepada dua orang cahaya mata ini turut memaklumkan, dia juga tidak tahu lagunya telah dipilih menjadi OST drama tersebut sebelum ini.
“Saya risau untuk mengulas lanjut kerana sama ada lagu saya dipilih atau tidak, itu bukan saya yang tentukan.
“Malah, saya juga tak tahu lagu saya itu telah dipilih menjadi OST drama tersebut sebelum ini.
“Saya tahu mengenai hal ini pun daripada peminat. Mereka yang banyak mengambil berat tentang karya-karya saya. Kalau tidak, saya pun tak tahu,” ujarnya lagi.
Mengulas mengenai reaksi peminat, Bella menyifatkan semua pihak berhak memberikan pandangan.
“Alhamdulillah, saya bersyukur kerana ada pihak yang menyokong kerjaya saya.
“Mungkin mereka memang menonton drama tersebut. Jadi, mereka pun beri pandangan dan pendapat masing-masing.
“Saya ingin berterima kasih kepada para peminat yang mengambil berat dan terus mendengarkan lagu-lagu saya,” kongsinya lagi.
Terdahulu, Bella diumumkan sebagai antara selebriti dan pempengaruh media sosial yang turut terlibat dalam program pencarian bakat baharu, Social Celeb.
Platform ini dirangka untuk menjadi jambatan antara bakat baharu dan industri hiburan profesional dengan menyediakan akses menyeluruh kepada latihan intensif serta peluang uji bakat secara langsung.
Para peserta akan diberi peluang mengikuti bengkel eksklusif, sesi persembahan langsung serta uji bakat untuk projek filem, drama bersiri dan kandungan OTT.
Di peringkat akhir, 100 peserta terbaik akan dipilih untuk menyertai produksi sebenar sekali gus memberikan pengalaman yang bukan sekadar latihan, tetapi juga titik permulaan kerjaya profesional.
Kesemua peserta bakal mendapat bimbingan daripada Star Mentors yang terdiri daripada artis popular tanah air seperti Datuk Afdlin Shauki, Nabil Ahmad, Nabila Huda dan Datuk Aaron Aziz.
Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara.
Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!
Setiap kali bulan Ogos menjelma, seluruh negara dipenuhi dengan warna Jalur Gemilang yang berkibar megah di jalanan, di bangunan pencakar langit dan di serambi rumah. Namun, kemerdekaan bukan sekadar pada bendera yang berkibar atau laungan merdeka yang bergema di stadium. Ia hidup dalam nadi rakyat, berdenyut dalam cerita kecil yang sering kita pandang sebelah mata.
Tahun ini, Astro menghidangkan siri dokumentari Astro Merdeka 2025 yang mengajak kita menyingkap wajah sebenar Malaysia. Wajah itu tidak semata-mata dipotretkan dalam perarakan rasmi, tetapi terlukis indah dalam kehidupan harian kanvas masyarakat yang sederhana.
Episod pertama berjudul Famili Ikat Tepi membawa penonton ke Tapah, Perak melawat Xin Aun Nong Yong, sebuah kopitiam yang berusia hampir seabad. Bangunan kayu tua itu masih teguh berdiri, seolah menjadi saksi bisu kepada ratusan pertemuan dan ribuan perbualan yang pernah berlabuh di situ sejak sebelum Merdeka lagi.
Bau kopi pekat yang menyapa hidung, bunyi sudu berlaga dengan gelas kaca, dan gelak tawa pelanggan menjadi harmoni yang tidak pernah pudar. Bersama Nadeera dan Sharul Kamal, Aril Pilus menghidupkan semula nostalgia ini, seakan mengingatkan kita bahawa warung kecil itu lebih daripada sekadar tempat menjamu selera.
Ia adalah ruang menyulam persahabatan, medan menyambung cerita, dan monumen perpaduan yang tumbuh tanpa dipaksa. Mesej tersiratnya sangat jelas. Di balik meja kayu yang usang, kita melihat bagaimana perbezaan latar belakang tidak menjadi sempadan.
Seorang pesara, seorang warga emas dan seorang pekerja boleh duduk semeja, berkongsi cerita sambil menghirup kopi panas. Segelas minuman itu lebih ampuh daripada ribuan slogan, kerana ia menautkan jiwa dalam bahasa paling mudah, iaitu kebersamaan.
Episod kedua pula menyingkap kisah jauh di Lutong, Miri, Sarawak, melalui judul Tempat Letak Harmoni. Di kawasan ini berdiri Masjid An-Naim dan Good Shepherd Church, dua rumah ibadah yang bersebelahan. Uniknya, kedua-duanya berkongsi tanah parkir yang dimiliki. Dari luar ia tampak seperti susun atur kebetulan, tetapi di baliknya tersimpan falsafah besar tentang toleransi dan kepercayaan.
Aril bersama Daniel Sher dan Wani Kayrie menyingkap bagaimana masyarakat setempat membudayakan sikap bertolak ansur dengan penuh rela. Ketika tiba solat Jumaat, halaman dipenuhi kenderaan jemaah masjid. Pihak gereja tidak mempertikaikan, malah memahami bahawa itu saat penting buat saudara Muslim mereka.
Sebaliknya, ketika Ahad menjelma, giliran ruang itu menjadi milik penganut gereja untuk berkumpul dan beribadat. Semuanya berlaku dengan penuh hormat, tanpa sebarang sengketa. Di sinilah kita melihat bagaimana sebuah ruang parkir yang sederhana menjadi lambang besar kepada kematangan rakyat Malaysia. Ini bukti bahawa perpaduan bermula daripada adab kecil, daripada kemampuan hati manusia untuk memberi ruang dan mengutamakan harmoni berbanding ego.
Episod ketiga berjudul Seni Berkawan pula memperlihatkan sisi yang lebih berwarna-warni. Tiga seniman muda, Izzati Suza, Riynn Lee dan Karthine, disatukan dalam satu ruang kreatif, ditemubual oleh kumpulan remaja popular masa kini, Alpha bersama Aril.
Walaupun setiap seorang datang daripada latar budaya dan gaya seni yang berbeza, mereka berkongsi satu tekad, iaitu menjadikan seni sebagai jambatan yang merapatkan jurang perbezaan. Dari bicara santai mereka, terbit satu kebenaran bahawa seni adalah bahasa yang tidak bertuan. Ia tidak memerlukan penterjemah untuk difahami, sebaliknya terus menyentuh jiwa sesiapa sahaja yang mendengar atau melihatnya. Mesej tersiratnya lembut tetapi kuat.
Kreativiti manusia mampu menembus dinding perbezaan, melangkaui sempadan bahasa dan agama, lalu meresap ke dalam hati dengan keindahan yang tulus. Dari ruang seni inilah kita belajar bahawa kemerdekaan sebenar bukan sahaja terletak pada bebasnya sebuah negara, tetapi juga pada bebasnya hati kita daripada prasangka.
Dalam tiga kisah ini, Astro tidak sekadar menyiarkan dokumentari. Ia seakan mengirimkan sepucuk surat cinta kepada rakyat Malaysia. Kemerdekaan dan Hari Malaysia tidak hanya hidup dalam gendang perbarisan atau kibaran Jalur Gemilang, tetapi juga dalam kopi yang dikongsi bersama, dalam parkir yang dirunding penuh hemah, dan dalam seni yang melintasi sempadan budaya.
Dengan Aril Pilus sebagai pengikat naratif, Astro Merdeka 2025 menjahit benang halus yang menghubungkan kita semua. Ia mengingatkan bahawa perpaduan bukanlah impian jauh di awan, tetapi kenyataan yang dapat ditemui dalam detik kecil. Ia ada di kopitiam, di pekarangan ibadah dan di studio seni.
Inilah wajah Malaysia sebenar, wajah yang merdeka kerana hati rakyatnya hidup bersama berpaut dalam harmoni. Jangan lepaskan peluang menyaksikan episod penuh ketiga-tiga dokumentari menarik penuh bermakna ini di sini.
++Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!