
Pelakon Alif Muhaimin, mendedahkan dia kini aktif dalam seni mempertahankan diri Muay Thai, bukan sahaja atas dasar minat, tetapi sebagai cabaran buat dirinya sendiri.
Menurut Alif, atau nama penuhnya Alif Muhaimin Abdul Rahman, 30, dia mula menyertai sukan tersebut secara serius sejak dua tahun lalu, termasuk menyertai beberapa kejohanan.
“Sebenarnya saya sudah lama minat untuk terlibat serius dalam Muay Thai. Cuma sebelum ini ia terbatas kerana komitmen kerja dan sebagainya.
“Malah saya sendiri pun cenderung dengan aktiviti riadah yang ekstrem, ke gim, bersukan dan sebagainya.
“Jadi sekarang adalah masa yang terbaik untuk betul-betul serius. Banyak yang saya belajar bila masuk Muay Thai mengenai fokus dan disiplin.
“Selain itu, ia juga boleh jadi panduan asas untuk kita belajar dan sekurang-kurangnya tahu cara untuk mempertahankan diri,” katanya.
Sebagai persiapan menyertai pertandingan Muay Thai yang dijadualkan Disember depan, Aliff juga kini mengamalkan diet yang lebih ketat dan terkawal untuk memastikan stamina dan fizikal berada pada tahap optimum.

Fasa Baharu Bergelar Bapa
Selain aktif dalam dunia sukan, Aliff turut bersyukur atas kehadiran cahaya mata sulungnya, Muhammad Adryan, yang kini berusia setahun empat bulan.
Jelasnya, bergelar bapa adalah momen terindah yang tidak pernah terjangka.
“Syukur sebab sebenarnya tak sangka Allah SWT kurniakan saya dan isteri kebahagiaan ini. Kami juga tidak merancang bila bercakap soal cahaya mata.
“Kalau ada rezeki lagi, kalau boleh nak sepasang. Barulah Adryan ada kawan dekat rumah. Insya-Allah dia boleh jadi abang yang baik. Dia pun mudah untuk dijaga,” katanya lagi.
Untuk rekod, Alif mendirikan rumah tangga dengan isterinya, Alissa atau Nur Fatin Alissa Azam, 25, pada 24 Jun tahun lalu dalam sebuah majlis yang diadakan di Ghazi House, Hulu Langat, Selangor.
Hasil perkongsian hidup, pasangan ini selamat menyambut kelahiran bayi lelaki pada 7 Mac tahun lalu.
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!




