
Meskipun pernah terpalit dengan pelbagai ujian hidup, penyanyi kelahiran Singapura, Aliff Aziz tetap bersyukur dengan kehidupan yang dilaluinya kini.
Menurutnya, dia mahu sentiasa bersangka baik serta percaya bahawa setiap perkara yang berlaku mempunyai hikmah tersendiri.

“Alhamdulillah, ketika ini, saya menjalani hidup dengan sangat baik. Apa sahaja yang kita lalui, ada kalanya kita merasakan seperti sudah tiada jalan keluar.
“Dunia rasa gelap dan kita sering bertanya kepada Allah kerana sesuatu perkara itu terjadi kepada kita.
“Namun, saya yakin, sesiapa sahaja yang melalui ujian dan dugaan, tidak ada bumi yang hujan selamanya. Walaupun bertahun hujannya lebat tapi inshaAllah awan itu akan berlalu.
“Begitulah roda kehidupan kita. Mungkin inilah masanya untuk saya bersangka baik agar kehidupan saya lebih cerah pada masa hadapan. Saya bercakap untuk diri sendiri,” katanya kepada MH.
Penyanyi lagu ‘Kalau Cinta’ itu berkongsi perkara tersebut ketika ditemui di majlis sidang media Havoc Trio Festival 2025, baru-baru ini.
Kini Lebih Kuat dan Positif
Aliff menambah, setiap insan akan diuji dalam hidup, namun kekuatan untuk bangkit semula amat penting walaupun berdepan dugaan yang sangat berat.

“Dalam kehidupan ini, penuh warna-warni. Semua orang yang hidup, pasti akan diuji. Sama ada diuji dengan kelakuan sendiri atau kelakuan yang mendatang, semua orang ada ujiannya.
“Itulah satu perkara yang saya sentiasa pegang. Adakah ujian akan buat kita putus asa? Saya pernah lalui fasa itu dahulu. Fasa yang sangat gelap.
“Ketika itu, saya hilang pertimbangan diri dan lakukan hal yang bukan-bukan. Malah, orang mungkin akan kata saya akan jadi lebih teruk.
“Alhamdulillah, saya masih lagi berdiri di sini, sihat dan waras. Apa yang saya pelajari adalah hidup harus diteruskan.
“Setiap perkara yang terjadi, kita balikkan kepada Allah. Jika kita tak melihat hikmahnya, hidup kita akan berkecamuk,” kongsinya lagi.
Dalam masa sama, Aliff turut mendedahkan, dia juga tidak membaca komen negatif di media sosial demi menjaga kesihatan mentalnya.

“Saya tidak baca atau terlalu meneliti apa yang diperkatakan oleh netizen. Saya sudah berada di satu tahap, walau apapun yang saya kongsikan, netizen akan berikan pelbagai reaksi.
“Ada yang akan mendoakan yang terbaik dan ada juga yang sebaliknya. Pada saya, itu normal. Yang tidak baik, saya tak simpan dalam hati. Yang baik, saya aminkan.
“Saya tak rasa terkesan. Setiap hari, akan ada sahaja perkara yang orang nak perkatakan. Kalau saya tak jaga cara penerimaan, saya juga yang down nanti,” akhirinya.
Untuk rekod, Aliff Aziz sebelum ini pernah terpalit dengan kontroversi rumah tangga bersama bekas isteri yang juga penyanyi dan pelakon, Bella Astillah.
Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 9 September 2016 dan dikurniakan dua cahaya mata, Ayden Adrian dan Ara Adreanna.
Mereka disahkan bercerai talak satu buat kali kedua pada 13 Jun 2024 selepas pernah berpisah kali pertama pada 16 Mei 2019, sebelum kembali rujuk dalam tempoh idah.
Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara.
Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!




