Categories: Uncategorized

Akak Polis Viral Tak Terfikir Untuk ‘Give Up’, Cuba Bahagikan Masa

Share

Sebelum ini, ramai mengenali penyanyi, Soffwany Yusoff ini sebagai ‘kakak polis viral’ setelah video dia menyanyikan lagu ‘cover’, Wani Hasrita viral di media sosial.

Namun begitu, kini nama Soffwany semakin dekat dan dikenali oleh orang ramai sejak bergelar artis rakaman Suria Record.

Meskipun dia terpaksa membahagikan masa antara kerjaya polis dan juga nyanyian, Soffwany mengakui istilah ‘putus asa’ tidak pernah muncul dalam benak fikirannya.

“Saya memang minat menyanyi sejak kecil lagi sebab itu bila dapat peluang dilamar menjadi artis rakaman SRC, saya ambil tapi dengan perbincangan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Sambil itu, saya juga kini sedang sambung belajar di uiverisiti swasta jadi ada tiga perkara yang menjadi keutamaan saya sekarang.

“Paling utama buat saya tentulah kerja saya bersama PDRM, kedua adalah pengajian saya dan akhir sekali syarikat rakaman.

“Saya sangat bersyukur bahawa syarikat rakaman saya amat memahami dan turut sama membantu menyusun perjalanan karier saya.

“Saya memang tak terfikir untuk berhenti salah satu sebab apa yang saya usahakan sekarang amat penting buat saya,” katanya kepada Media Hiburan.

Sementara itu, Soffwany juga turut berkongsi pengalaman saat namanya mula viral tahun lalu.

“Kerja saya dalam polis ada kena mengena dengan pancaragam. Bila video tu mula viral, orang adalah yang perasan, ada yang minta bergambar semua.

“Terima kecaman? Saya terima dengan seadaanya, tipulah kalau tak terasa tapi cuba fikir positif sahaja,” katanya lagi.

Muncul dengan single, Nafas Cinta awal tahun ini, lagu tersebut yang sudah berada di laman Youtube awal Januari lalu banyak mendapat komen positif para peminat.

IKLAN