
Masih dibayangi trauma daripada insiden lalu, penyanyi dan penulis lagu, Aisha Retno mengakui bukan sesuatu yang mudah untuk dirinya menerima tawaran daripada pihak penganjur, LOL Asia bagi menjayakan showcase solo ‘The Aisha Experience’. Showcase itu dijadual berlangsung pada 20 September ini di Jio Space, Petaling Jaya.
Namun begitu, Aisha atau nama penuhnya Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulijam menjelaskan, dia perlu beranikan diri dan tidak boleh terus-menerus larut dalam kesedihan.

“Pada awalnya, saya agak ragu-ragu untuk menerima tawaran konsert ini. Saya bukan ragu-ragu kepada pihak lain tapi lebih kepada diri sendiri.
“Adakah saya bersedia dari segi mental dan fizikal? Sejujurnya saya memang terkesan dengan insiden yang berlaku sebelum ini. Saya agak trauma.
“Sampai bila saya nak trauma? Nanti apa-apa kerja pun tak boleh buat. Waktu tetap berjalan dan usia saya juga sudah semakin meningkat.
“Tidak logik untuk berehat terlalu lama disebabkan kesedihan ini,” katanya kepada MH.
Perkongsian tersebut dibuat ketika ditemui pada majlis pelancaran mini albumnya, Rehab serta pengumuman rasmi mengenai Showcase The Aisha Experience.

Showcase Untuk Raikan Karya
Penyanyi lagu Sutera ini menambah, tujuan utama penganjuran showcase tersebut sebagai ruang untuk menghargai karya-karya dalam album mini terkininya.

“Perancangan showcase dan mini album ini berjalan seiring. Showcase ini adalah perayaan untuk album saya ini.
“Malah, ia juga bukan untuk membalas dendam disebabkan konsert yang tidak jadi sebelum ini.
“Berbulan-bulan saya buat keputusan sebelum terima tawaran ini.
“Syarat yang saya letakkan adalah untuk membuat showcase secara kecil-kecilan sahaja. Saya tak mahu terlalu bercita-cita tinggi.
“Ini juga cara saya untuk menghargai peminat yang kini semakin bertambah. Kalau bukan sekarang, bila lagi?” akhirinya.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!




