
Pelakon dan pengacara Adriana Adnan tampil memberikan penjelasan susulan kritikan yang diterimanya selepas berkongsi pengalaman berdepan layanan kurang mesra di pasar malam, baru-baru ini.
Adriana, 31, berkata, perkongsian tersebut dibuat atas kapasiti sebagai pelanggan dan bukanlah bertujuan untuk memperlekeh mana-mana peniaga.
“Saya tak jangka isu itu tiba-tiba jadi perhatian. Waktu itu saya cuma ceritakan pengalaman di bazar yang agak sibuk dan layanan terasa macam dingin.
“Saya tak minta layanan istimewa, cukup sekadar senyuman atau tutur kata yang baik sebab kita datang untuk membeli,” katanya.
Tambahnya lagi, interaksi ringkas antara peniaga dan pelanggan sebenarnya mampu mewujudkan suasana yang lebih selesa ketika berurusan secara langsung.
“Kita datang nak beri rezeki juga kepada peniaga. Kadang cara menjawab buat pelanggan rasa macam dimarahi walaupun baru pertama kali jumpa,” katanya lagi.
Adriana bagaimanapun memahami tekanan yang dihadapi peniaga terutama ketika waktu puncak.
“Saya faham mereka penat dan sibuk, tapi kalau sempat senyum sekejap pun sudah cukup buat suasana lebih baik untuk kedua dua pihak,” katanya.

View this post on Instagram
Pengalaman Jelajah Bazar
Sementara itu, Adriana menjelaskan kandungan dalam siri media sosialnya iaitu Adriana Cari Makan juga hanyalah pandangan peribadi sebagai pembeli.
“Saya beli sendiri semua makanan dan komen ikut selera sendiri. Kalau tak kena di tekak saya, saya beritahu secara jujur.
“Tak ada niat jatuhkan sesiapa sebab setiap orang ada cita rasa berbeza. Apa yang saya tak suka mungkin orang lain suka,” katanya.
Malah dia turut melihat perbincangan yang tercetus dalam ruang komen menerusi kandungan konten yang dihasilkan sebagai sesuatu yang positif apabila penonton turut berkongsi pandangan.
“Pernah juga cara saya makan kuih jadi topik perbualan. Ramai betulkan dan saya anggap itu perbincangan sihat.
“Saya dan orang lain juga dapat belajar dan info baru. Malah bagi saya, makanan memang boleh satukan orang kerana ramai beri reaksi dalam setiap video,” katanya lagi.
Terdahulu, perkongsian dalam siri Adriana Cari Makan mencetuskan pelbagai reaksi netizen, namun dalam masa sama membuka peluang kerjasama termasuk projek jelajah bazar Ramadan istimewa bersama AirAsia.
Program #AdrianaCariMakan membawa Adriana meneroka pelbagai lokasi dalam dan luar negara seperti Alor Setar, Sabah, Sarawak, Brunei serta Banjarmasin, dengan episod baharu disiarkan dua kali seminggu.
Berkongsi pengalaman sepanjang penggambaran, Adriana mengakui terpaksa berjauhan dengan keluarga pada awal Ramadan.
“Ini kali pertama saya sambut Ramadan jauh daripada keluarga. Hanya selepas beberapa hari barulah sempat berbuka bersama mereka kerana jadual kerja padat.
“Memang rindu rumah, tapi pengalaman jelajah bazar di tempat lain sangat berharga,” katanya.
Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.
View this post on Instagram
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!




