Uncategorized

Kecoh Bila Filem Ala Mona Fandey Bocor Di Internet!

Share

Meski tidak pernah ditayangkan di pawagam negara ini, filem Dukun yang mencetuskan sensasi lebih sedekad lalu kembali diperkatakan sejak beberapa hari kebelakangan ini apabila versi penuh filem tersebut bocor di internet!

Filem seram arahan Dain Said itu rancak dikongsi menerusi beberapa pautan di media sosial sekali gus mengejutkan ramai pihak bagaimana naskhah yang dihasilkan lsekitar tahun 2006 ini mulai tular dan boleh ditonton umum.

Memetik sumber daripada Harian Metro Online, kebocoran filem berkenaan dipandang serius Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) yang kini sedang mengambil beberapa pendekatan bagi menangani isu tersebut.

Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional(FINAS), Datuk Fauzi Ayob dalam satu kenyataannya berkata, pihaknya memandang serius perkara ini dan mengambil beberapa pendekatan untuk menanganinya.

“Sebelum ini, FINAS sudah mengambil inisiatif penting bersama-sama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia dan Persatuan Penerbit Filem Malaysia dengan menubuhkan Jawatankuasa Bertindak Membanteras Cetak Rompak Digital sebagai sinergi bersama menangani isu filem di pawagam yang dimuat naik ke laman sesawang oleh individu tidak bertanggungjawab.

 

“Bagaimanapun, kita perlu maklumat lanjut memandangkan iamelanggar isu hak cipta dan harta intelek.  FINAS berharap pengguna sedar tindakan menyebar dan memuat turun kandungan adalah salah di sisi undang-undang,” katanya.

Terdahulu, Dukun yang menampilkan aktres versatil, Datin Paduka Umie Aida sebagai teraju utamanya pernah mencetuskan kontroversi kerana difahamkan telah diinspirasikan daripada kes pembunuhan berprofil tinggi melibatkan seorang ahli politik dan Mona Fandey bersama dua tertuduh lain.

Selain Umie, pelakon lain yang turut beraksi di dalam filem berkenaan ialah Namron, Faizal Hussein ,Hasnul Rahmat, Nadiya Nissa, Bront Palarae dan ramai lagi.

Bagaimanapun sebelum menantikan tayangan, Dukun gagal mendapat kelulusan Lembaga Penapisan Filem Negara (LPF) kerana jalan ceritanya yang boleh menimbulkan kontroversi selain dikatakan menyinggung perasaan keluarga pihak terbabit.

 

 

IKLAN