Select Page
  • 1K
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    1K
    Shares

Sayu pagi ini apabila MH Online mendapat perkhabaran sedih bahawa Wartawan hiburan veteran, Bahyah Mahmood, 76, atau lebih mesra disapa Bam telah meninggal dunia.

Allahyarham Bam telah menghembuskan nafas terakhir di Insitut Kanser Negara, Putrajaya pada pukul 5.20 pagi ini.

Allahyarham meninggal dunia akibat kanser hempedu.

Menurut anak sulungnya, Farizah, jenazah kini berada di rumah alamat 17 Lorong Enggang 3 Taman Keramat Kuala Lumpur.

Jenazah akan disolatkan di Masjid Al Ansar, Taman Keramat dan akan dikebumikan selepas zohor hari ini.

Tulis anaknya lagi,

“Ya Allah, berikanlah ampunan kepadanya, sayangilah dia, maafkan dan ampunilah dia, muliakan tempatnya, luaskan tempat masuknya, serta mandikanlah dia dengan air, salju dan embun; bersihkanlah dia dari kesalahan-kesalahan sebagaimana baju putih dibersihkan dari kotoran; berikanlah dia pengganti tempat tinggal yang lebih baik dari tempat tinggalnya, keluarga yang lebih baik daripada keluarganya dan masukkanlah dia ke syurga serta lindungilah dia dari azab kubur (atau azab neraka).”

Sementara itu, Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) turut menyampaikan rasa kehilangan.

“Keluarga besar wartawan dan penulis hiburan Malaysia hari ini kehilangan seorang tokoh yang cukup kami sayangi.

 

“Persatuan WHAM meletakkan Allahyarham Bam bukan hanya sebagai seorang wartawan hiburan penuh wibawa, tetapi dalam banyak keadaan menjadi ‘rakan baik’ kepada sesiapa sahaja di sekeliling beliau.
“Kak Bam menjadi tempat berkongsi segala masalah, suka dan duka bukan sahaja dalam kehidupan anak seni tempatan, tetapi juga kami wartawan-wartawan muda yang menyambung perjuangan beliau dalam bidang penulisan seni dan hiburan.

 

“Beliau sudah seperti kakak atau ibu kepada kami kerana sering memberikan nasihat-nasihat, galakkan dan kata-kata semangat kepada wartawan yang lebih junior seperti kami.

 

“Tidak pernah ada seorang pun yang tidak menyukai atau ada masalah peribadi dengan beliau sepanjang kami mengenalinya,” jelas Presiden WHAM, Datuk Tengku Khalidah Tengku Bidin.

 

“Justeru tidak hairan kenapa nama-nama besar, seniman dan seniwati lagenda negara meletakkan beliau sebagai maestro kewartawanan hiburan yang begitu berpengaruh.

 

Apa yang diungkapkan, atau diputuskan oleh Bam, seringkali dijadikan panduan oleh banyak artis angkatan 80-an dan 90-an untuk meneruskan kehidupan mereka, baik dalam kerjaya mahupun peribadi.

 

“Malah, untuk hal hal penting seperti berkahwin atau bercerai sekalipun, mereka akan menjadikan Bam sebagai rujukan terlebih dahulu.

 

“Menariknya hubungan mereka apabila walaupun Bam seorang wartawan dan mereka artis, Bam tidak akan sesekali menulis tanpa kebenaran dari sumbernya.

 

“Apa yang menjadi rahsia, kekal sebagai rahsia dan beliau hanya akan menulis apa yang boleh ditulis. Selebihnya ia menjadi rahsia beliau dan artis itu sendiri, justeru Bam banyak menyimpan rahsia ‘besar’ sekian banyak nama-nama tersohor negara ketika hayatnya.

 

“Antara artis yang paling dekat dengan Bam adalah Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad, Allahyarham Sharifah Aini, Uji Rashid dan ramai lagi lagenda di bidang tersebut.

Malah, rumah kediaman BAM dan suaminya, Allahyarham Ahmad Idris (ABI) di Jalan Enggang, Keramat Kuala Lumpur seringkali menjadi persinggahan sementara kepada banyak artis apabila ditimpa masalah peribadi.

“Ini termasuklah ketika Allahyarham Datuk Sharifah Aini berhadapan dengan masalah rumah tangganya bersama dengan suami, Ali Bakar, Bam menjadi ‘bahu’ yang paling akrab untuk bersandar.

 

“Selain itu, Bam adalah antara satu-satunya wartawan hiburan yang diberi peluang menziarah Allahyarham Sudirman, ketika lagenda itu berada dalam keadaan nazak sebelum meninggal dunia pada Februari 1992.

 

“Persatuan WHAM melahirkan ucapan takziah kepada anak-anak dan ahli keluarga Allahyarham Bam dan semoga tabah menerima kehilangan besar ini.

Semoga meninggalnya beliau di dalam bulan yang penuh barakah ini akan menerima seribu satu ganjaran istimewa sebagaimana yang telah dijanjikan oleh Allah S.W.T. Al-Fatihah.,” ujarnya lagi

Baca Ini Juga

Apa Kata Anda

KORPORAT     POLISI DATA PERIBADI    PENAFIAN   •   LANGGANAN      PENGIKLANAN      KERJAYA       HUBUNGI KAMI

© Hakcipta Terpelihara • Kumpulan Karangkraf

error:
" "