Select Page
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Jika sebelum ini kebanyakan program realiti TV pencarian bakat baru dalam bidang seni sering tertumpu di Kuala Lumpur, Tawau Got Talent kini dilangsungkan di Tawau, Sabah.

Pemilihan Negeri Di Bawah Bayu ini sebagai lokasi utama adalah untuk memberi lebih banyak peluang kepada bakat-bakat hebat dari negeri ini untuk tampil mengetengahkan bakat mereka kepada umum.

Apa yang menariknya, pencarian bakat dalam program realiti TV anjuran Suffery Holding dan Padi Records Sdn Bhd ini tidak hanya tertumpu kepada bidang nyanyian semata-mata tetapi juga dalam bidang lakonan, tarian atau apa sahaja bakat seni yang mereka miliki.

Sesi uji bakat untuk program ini telah berlangsung sepanjang Mei lalu dengan penyertaan lebih seribu orang peserta yang kemudiannya melalui proses saringan secara berperingkat sebelum tampil dengan konsert pengenalannya pada 8 Julai depan.

Proses pemilihan peserta yang terlibat telah dilakukan oleh tenaga profesional dalam industri muzik tanah air di mana ia terdiri daripada Pak Ngah Suhaimi, Awang BPR, Eddie Hamid, Adi 6ixthSense, Amir (Pearl) dan lain-lain.

Menurut Datuk Datuk Sri Mohammad Jeffry Rosman, Pengerusi Eksekutif Suffery Holding, idea penganjuran program ini tercetus selepas menyedari banyak bakat hebat dari Sabah yang tidak berpeluang untuk tampil ke depan kerana kerana pelbagai kekangan terutamanya dari aspek logistik dan kewangan.

 

“Kalau di semenanjung, terutamanya di Kuala Lumpur, saya lihat banyak peluang yang diperoleh oleh bakat-bakat muda menerusi pelbagai sesi uji bakat yang diadakan selain program realiti yang sudah ada nama.

 

“Jadi menerusi program ini, kami mahu memberikan peluang kepada lebih ramai anak-anak muda dari Sabah, terutamanya Tawau untuk menguji bakat mereka dan seterusnya membuktikan bakat mereka kepada dunia selepas ini.

 

“Program ini sepenuhnya akan berlangsung di Sabah, baik ketika seisi uji bakat, saringan secara berperingkat, konsert mingguan sehinggalah kepada peringkat akhir yang bakal menobatkan peserta yang bakal bergelar juara,” katanya.

 

Beliau yang di temui di Majlis Iftar Ramadan Bersama Media dan Tawau Got Talent Team serta Memperkenalkan Ammy Farra Sebagai Artis Residen Padi Records turut menjelaskan format musim pertama program realiti yang bakal bersiaran di kaca TV tidak lama lagi.

 

“Sambutan yang kami terika ketika sesi uji bakat sangat luar biasa sehingga pihak kami terpaksa membuat beberapa peringkat saringan untuk memilih hanya terbaik dari mereka.

 

“Seramai 30 peserta akan dipilih untuk muncul dalam Konsert Pengenalan program ini diikuti dengan Konsert Prelude yang bakal menentukan 12 peserta terbaik bakal bergelar peserta Tawau Got Talent di mana mereka akan ditempatkan di sebuah akademi untuk membuat persiapan menjayakan konsert mingguan.

 

“Mereka akan turut melalui proses penyingkiran setiap minggu dan hanya lima daripadanya sahaja yang akan mata ke peringkat akhir yang dijangka berlangsung pada Ogos depan,” ujarnya lagi.

 

Juara Tawau Got Talent musim pertama ini bakal membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM50,000, sebuah kereta, trofi berserta pelbagai hadiah tajaan yang lain.

Sementara itu, dalam majlis yang sama turut diperkenalkan artis baru, Ammy Farra yang juga merupakan artis residen Padi Record yang bakal tampil dengan single pengenalannya tidak lama lagi.

 

Teks Oleh : Wawann Mohd

Baca Ini Juga

Apa Kata Anda

KORPORAT     POLISI DATA PERIBADI    PENAFIAN   •   LANGGANAN      PENGIKLANAN      KERJAYA       HUBUNGI KAMI

© Hakcipta Terpelihara • Kumpulan Karangkraf

error:
" "