Select Page
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

KEMENANGANNYA sebagai Pelakon Pembantu Wanita Terbaik dalam Festival Filem Malaysia ke-29 (FFM29) baru-baru ini semestinya memberi impak yang begitu besar buat pelakon cantik Diana Danielle.

Manakan tidak, selepas hampir dua tahun berehat seketika daripada bidang lakonan kerana sibuk menguruskan anak dan rumah tangga, pelakon cantik ini kembali aktif beraksi secara sepenuh masa.

Bagaiamanapun berbanding dahulu, isteri kepada pelakon Farid Kamil ini menegaskan hanya memilih tawaran yang sesuai dan berberbaloi dengan komitmen yang diberikannya.

“Alhamdulillah banyak tawaran yang datang kepada saya, namun saya harus membuat pemilihan yang betul agar setiap penglibatan saya itu dapat memberikan kepuasan kepada diri saya sendiri dan berbaloi dengan komitmen yang saya berikan.

 

“Jadi saya perlukan skrip yang bagus agar saya bersemangat untuk keluar bekerja dan tidak rasa bersalah meninggalkan anak-anak di rumah kerana apa yang dikerjakan itu bakal memberikan sesuatu yang saya dapat banggakan,” ujarnya yang kini sibuk dengan penggambaran sebuah program travelog untuk saluran Discovery Channel.

Melihat kepada jadual kerjanya yang padat, Diana yang juga ibu kepada dua cahaya mata comel, Muhamad, 5, dan Aurora, 1, mengakui perlu lebih bijak menguruskan masa bersama anak-anak.

Malah Diana juga dilihat sering berkongsi aktivitinya bersama anak-anak menerusi media sosial sehingga menarik minat para peminatnya untuk sentiasa mengikuti perkembangan mereka sekeluarga.

“Saya seronok melihat perkembangan anak-anak yang kini semakin membesar dan bijak dengan cara mereka yang tersendiri.

 

“Perasaan yang sama turut dirasai oleh suami, ibu dan keluarga mertua saya di mana kami sentaisa dihiburkan dengan keletah anak-anak membuatkan rasa sentiasa mahu meluangkan lebih masa bersama mereka setiap ketika.

 

“Muhamad dilihat begitu mewarisi kecenderungan bapanya yang suka kepada aktiviti-aktiviti lasak yang didedahkan kepadanya semenjak kecil lagi, sementara Aurora pula mungkin lebih kepada saya yang sukakan kepada sesuatu yang cantik,” kongsinya lagi.

Mengakui kepentingan media sosial dalam kehidupan masyarakat hari ini, Diana bagaimanapun menegaskan untuk tidak mahu terlalu obses kepada medium berkenaan kerana percaya ia akan mendatangkan keburukan jika disalah guna.

“Sebagaimana orang lain, saya juga turut berkongsi tentang perkembangan semasa saya baik dalam kerjaya mahupun keluarga di media sosial, namun saya akan pastikan apa yang dikongsi itu tidaklah keterlaluan.

 

“Selalunya perkongsian itu tentang sesuatu yang mungkin peminat saya nak lihat atau tahu tentang diri saya selain perkara-perkara yang dirasakan mampu memberikan manfaat secara bersama kepada orang di luar sana.

 

“Bagaimanapun saya tak nafikan, kadang-kala walaupun kita berkongsi sesuatu yang positif, ada juga pihak yang menerima dengan perspektif yang sebaliknya sehingga mencetuskan pelbagai anggapan yang negatif.

 

“Jika berlaku situasi yang seperti itu, saya lebih suka mengambil pendekatan untuk berdiam diri dan tidak berdebat dengan mereka kerana percaya ia akhirnya akan senyap begitu sahaja,” ujar Diana.

 

Apa Kata Anda

KORPORAT     POLISI DATA PERIBADI    PENAFIAN   •   LANGGANAN      PENGIKLANAN      KERJAYA       HUBUNGI KAMI

© Hakcipta Terpelihara • Kumpulan Karangkraf

error: