Categories: Berita Hiburan

Zoey Risau Seluar Ketat Mampu Beri Kesan & Lelaki Berisiko Mandul, Ini Kata Doktor! – ‘Boleh Beri Tekanan Pada Saraf, Salur Darah Di Alat Sulit…”

Share

Pelakon dan pengacara, Zoey Rahman akui bimbang dengan gaya hidup sesetengah lelaki masa kini yang gemar memakai seluar ketat atau slim fit.

Sebagai seorang selebriti yang menitikberatkan turut soal kesihatan, usahawan produk kosmetik Mika Series ini mengingatkan agar lelaki berhati-hati mengikut trend fesyen yang boleh membahayakan alat sulit.

“Zaman sekarang, fesyen atau stail hipster menjadi trend golongan lelaki muda. Saya sendiri pun tidak terlepas mengikut trend fesyen semasa.

“Iyalah, saya perlu mengikut trend semasa namun dalam masa yang sama, saya sendiri jarang memakai seluar ketat demi keselesaan dan kesihatan alat sulit.

“Namun dalam berfesyen, saya risau apabila terdapat sesetengah lelaki yang gemar memakai seluar ketat atau slim fit tidak sedar itu sebenarnya membahayakan alat sulit mereka,” katanya.

Menurut Zoey, sebagai selebriti, dia merasakan sudah menjadi tanggungjawabnya untuk menyebarkan info bermanfaat kepada masyarakat.

“Walaupun saya bukan doktor, tetapi saya sering mengikuti perkongsian ilmu kesihatan daripada para doktor dalam acara kesihatan atau dalam media sosial.

“Memakai seluar ketat sebenarnya boleh mendatangkan kesan negatif kepada alat sulit lelaki.

“Misalnya ia boleh meningkatkan suhu kawasan testis, merosakkan saraf dan salur darah, serta menyebabkan kerengsaan kulit dan jangkitan,” ujarnya.

Doktor Jelaskan Risiko & Cara Pencegahan

Sementara itu, doktor perubatan dan penceramah kesihatan berpengalaman, Dr Afif Mohd Ridzwan, turut berkongsi pelbagai risiko akibat pemakaian seluar ketat dalam kalangan lelaki.

“Suhu badan kita adalah 37 darjah selsius. Manakala suhu testis pula memerlukan suhu hanya 35 darjah selsius.

“Kalau pakai seluar ketat sehingga menyebabkan testis rapat dengan badan, ia boleh menyebabkan suhunya sama dengan suhu tubuh. Itu bahaya.

“Risikonya air mani atau sperma lelaki jadi kurang subur dan boleh menyebabkan kemandulan.

“Bukan itu sahaja, pemakaian seluar yang terlalu ketat boleh memberi tekanan pada saraf dan salur darah di zakar, yang boleh menyebabkan kerosakan jangka panjang,” katanya menerusi akaun TikTok.

Menurut Dr Afif yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Rawatan Al Farhain, mencegah adalah lebih baik sebelum masalah timbul.

“Nasihat saya, apabila hendak tidur tu, jangan pakai seluar ketat. Pakai kain sarung lebih bagus.

“Kalau nak pakai seluar dalam ketat di siang hari, boleh saja kerana ia hanya sementara. Jangan pakai lama. Barulah ada pengudaraan, peluh pun jadi kering. Jadi boleh cegah daripada sebarang penyakit.

“Tapi sebalik-baik pakailah seluar longgar atau boxer. Boxer ini banyak kebaikannya. Antaranya adalah pengudaraan cukup dan testis tidak ditekan. Salur darah pun berjalan lancar.

“Apabila kita sering menjaga kesihatan alat sulit kita, insya Allah dalaman pun sihat,” tambahnya lagi.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini

@drafif_alfarhain Video ni khas untuk geng seluar skinny😌 #EnerVast #PusatRawatanAlFarhain #alfarhain24jam #dialisis #alfarhainmedicalcentre ♬ Faculties Of The Mind – Butterfingers
Published by
MH