
Bagi meraikan bulan Ramadan tidak lama lagi, Astro berbesar hati untuk menganjurkan program Majlis Ambang Ramadan ‘Assalamualaikum Terengganu’ yang akan berlangsung pada 7 Februari ini di Masjid Seberang Takir, Terengganu.
Program yang sarat dengan aktiviti kerohanian dan kemasyarakatan ini merupakan salah satu usaha murni Astro untuk menyantuni komuniti setempat yang selama ini telah menunjukkan sokongan tanpa berbelah bahagi.
Sejajar dengan kempen Ramadan Raya Astro 2026 ‘Bila Bersama, Lagi Jadi’, program Assalamualaikum Terengganu turut akan dimeriahkan dengan kehadiran barisan selebriti dan duta Astro seperti Sharifah Shahirah, Auddra, Zizan Razak, Alpha, Issey Fazlisham dan Faizal Ismail.
Bukan setakat itu, acara ‘Assalamualaikum Terengganu’ ini juga bakal disajikan lagi dengan pelbagai program bermanfaat yang akan dikendalikan para pendakwah popular seperti Ustaz Mohd Norhisyam Al-Idrus, Amin Idris, Ustaz Nabil Ahmad dan para peserta Mualim Muda.
Selain dapat beramah mesra, para pengunjung juga berpeluang untuk sama-sama menyertai pelbagai aktiviti yang telah dirancang seperti Bekwoh Rasa, rakaman khas Tazkirah Malam Jumaat & MeleTOP, pertandingan tulisan khat dan sesi mewarna.
Menerusi program Bekwoh Rasa, para penduduk setempat berpeluang untuk menyertai aktiviti-aktiviti rewang bersama barisan artis-artis Astro untuk menyediakan juadah buat para jemaah masjid.
Dalam masa sama, Astro turut tidak ketinggalan untuk mengadakan kem solat bersama kanak-kanak tempatan yang akan turut disertai team Misi Solat 5 Waktu dan para peserta Mualim Muda.
Malah, para penganjung juga bakal dihiburkan dengan persembahan daripada artis popular tanah air seperti Mawi, UNIC dan Alpha.
Dalam pada itu, acara ini juga secara tidak langsung bakal menjadi pengenalan kepada program-program menarik Astro yang akan menemani penonton sepanjang bulan Ramadan nanti.
Bukan sekadar hiburan, Astro optimis dalam menyajikan pelbagai program berbentuk islamik dan ilmiah dalam usaha untuk melahirkan masyarakat dan ummah yang lebih baik.
Jadi, jangan lepaskan peluang untuk mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan dan beramah mesra bersama artis popular tempatan di acara Assalamualaikum Terengganu, hujung minggu ini, pada 7 Februari 2026 di Masjid Seberang Takir, Terengganu.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini