
Penyanyi dan pelakon, Zaki Yamani mendakwa dirinya pernah hampir menjadi mangsa gangguan serta perbuatan kurang senonoh oleh seorang lelaki dewasa, sebelum ini.
Zaki atau nama sebenarnya Ahmad Zaki Yamani Jamal Ubaidillah berkata, individu terbabit yang bekerja dalam bidang produksi didakwa cuba memegang pehanya ketika berada di dalam sebuah bilik sehingga membuatkan dia berasa tidak selesa.
“Saya pernah mengalami dan melalui hal seperti itu (gangguan seksual). Ia terjadi ketika saya ada satu jemputan persembahan. Ketika itu, saya ada bertemu dengan seorang pekerja produksi.
“Dia ajak saya masuk ke bilik. Pada mulanya, saya ingatkan ia hanya perbualan biasa. Kemudian, perangainya berubah menjadi lain sedikit.
“Dia mula menyentuh saya dan kata wajah saya handsome dan jambu. Dia juga meletakkan tangannya di peha saya. Situasi itu membuatkan saya rasa tidak selesa.
“Dari situ saya tahu, individu tersebut bukanlah nak bersembang soal kerja tapi mungkin ada agenda peribadi.
“Saya terus bangun dan keluar daripada bilik. Nasib baik ibu saya ada di lokasi berhampiran. Hal ini berlaku ketika saya masih di sekolah menengah,” katanya kepad MH.
Anak kepada penyanyi legenda, Datuk Jamal Abdillah itu berkata demikian ketika ditemui di majlis sidang media mini drama FYP Macam VIP yang berlangsung di McDonald’s Pantai Sentral Park, Kuala Lumpur pada Rabu.
Menerusi drama terbabit, Zaki terlibat dalam mini drama berkenaan yang ditayangkan setiap Rabu dan Khamis di akaun TikTok Drama Sangat.
Selain Zaki, ia turut dibintangi barisan pelakon lain seperti Rykarl Iskandar, Mia Sara dan Serra Kamal.
Sementara itu, Zaki memaklumkan dia tidak mengambil sebarang tindakan terhadap individu berkenaan dan menganggap insiden itu sebagai satu pengajaran buat dirinya, lebih-lebih lagi ketika berurusan dengan orang lain.
“Selepas insiden itu, apa sahaja hal atau perbincangan personal berkaitan kerja, saya akan bawa ibu sekali. Saya lebih selesa jika ibu saya ada. Dia penjaga saya.
“Ada kalanya saya tersalah cakap atau faham dengan apa yang diperkatakan orang lain. Bila orang buat pelik-pelik, saya akan terus cakap tak nak.
“Saya tidak mengambil sebarang tindakan. Pasa saya ini adalah pengalaman. Jika hal yang sama berulang lagi, kita sudah tahu apa yang perlu dibuat,” kongsinya lagi.
Dalam pada itu, Zaki juga pernah ditawarkan wang berjumlah puluhan ribu ringgit untuk melakukan panggilan video bersama seorang wanita.
Namun, Zaki memilih untuk menolak tawaran tersebut dan terus menyekat akaun wanita terbabit.
“Saya juga ada menerima DM di TikTok daripada seorang wanita yang agak berusia. Dia sanggup offer nak bayar saya.
“Mulanya, saya ingatkan ia tawaran kerja, tapi dia mula bertanya macam-macam soalan termasuklah nak ajak video call.
“Saya terus block akaun tersebut. Saya tak bodoh. Ia berlaku ketika saya masih di bawah umur juga. Dia tawarkan saya dalam jumlah puluhan ribu ringgit,” kongsinya lagi.
Sebelum ini, hangat diperkatakan di media sosial mengenai pendedahan beberapa anak seni yang didakwa pernah menjadi mangsa gangguan seksual.
Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.