
Pelakon Aprena Manrose menegaskan dirinya kini belum bersedia untuk kembali berumah tangga, sekali gus memilih untuk terus memberi tumpuan kepada diri sendiri dan kerjaya.
Menurut Aprena atau nama sebenarnya, Wan Syahera Putri Aprena Wan Syahman, selepas menjalani perhubungan selama 14 tahun, dia setakat ini mahu menikmati perjalanan hidupnya sendiri.
“Buat masa sekarang, saya belum bersedia untuk mencari pasangan hidup. Ketika ini, saya mahu hidup dalam keadaan bertenang. Sebelum ini, saya sudah 14 tahun hidup dalam perhubungan.
“Jadi, saya rasa inilah masanya untuk saya menyayangi dan fokus pasa diri sendiri. Saya sudah penat. Luka lama telah sembuh,” katanya kepada MH.
Aprena turut menjelaskan bahawa dia mahu memberi ruang kepada dirinya terlebih dahulu sebelum memikirkan perancangan untuk kembali berumah tangga.
“Ada sahaja yang ajak berkawan dan cuba mendekati. Ada yang kata usia saya bukan muda lagi. Pada saya, 33 tahun bukanlah tua sangat.
“Bila ada yang ajak saya berkahwin, saya sebolehnya mahu menunggu lagi dua hingga tiga tahun. Saya mahu hidup single dahulu. Dahulu kita asyik fikirkan fasal pasangan. Kini saya mahu utamakan diri dahulu.
“Saya bercinta sejak umur 18 tahun dan berkahwin pada umur 23 tahun. Adalah sedikit perasaan trauma itu,” kongsinya lagi.
Dalam masa sama, pelakon drama, Impiana: Karma ini mengakui dirinya bersyukur kerana dipertemukan dengan orang-orang yang baik selepas bercerai.
“Sebelum bercerai, saya ada terfikir, ada ke orang yang mahu janda seperti saya. Sebenarnya, ada sahaja yang cuba mendekati.
“Alhamdulillah, semua yang hadir di dalam hidup saya selepas bercerai memang baik-baik belaka. Cuma buat masa sekarang, belum ada yang berjaya membuka hati saya,” katanya.
Ditanya mengenai perubahan kehidupannya selepas kembali bergelar solo, Aprena memaklumkan bahawa dirinya kini lebih terbuka untuk memberi tumpuan kepada kerjaya yang dicintainya.
“Saya dan bekas suami hanya hidup berdua sahaja. Kami tiada anak dan tidak terikat dengan apa-apa. Namun, sudah tentu ada beza bila kehidupan selepas berkahwin dan bercerai.
“Ketika berkahwin, kita kena jaga batas pergaulan. Sebab itu juga saya kurangkan aktiviti berlakon. Sebenarnya saya memang tidak mahu berlakon lagi.
“Saya pernah berhenti seketika daripada dunia lakonan ketika nak buat IVF. Malah, saya juga merasakan isteri memang tak sesuai untuk bekerja. Keluarga saya memang sudah dididik sebegitu.
“Namun, bila hubungan itu tidak boleh diselamatkan lagi, kini saya kembali memikirkan tentang kerjaya. Saya kini lebih bebas untuk bekerja dan berkawan,” akhirinya.
Sekadar informasi, Aprena berkahwin dengan Mohd Afiq Hazman pada 2016. Bagaimanapun, mereka bercerai pada Jun tahun lalu.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini