Berita

“Walaupun Dilayan Dengan ‘Brutal’…,” – Bebas Pertuduhan Serang Bekas Isteri, Radhi Pilih Memaafkan… Tak Ambil Tindakan Susulan

Share

Penyanyi, Radhi OAG memilih untuk tidak mengambil tindakan balas meskipun namanya dibebaskan daripada pertuduhan menyerang bekas isterinya, Nur Shahira Ayu Zahiri, pada Ogos 2025.

Menurut Radhi atau nama sebenarnya, Muhammad Radhi Razali, dia menganggap insiden tersebut sebagai satu ujian serta hikmah daripada Allah SWT.

“Alhamdulillah, saya menang kes mahkamah sebelum ini. Tiga tahun naik turun mahkamah. Sudah macam pembunuh pula. Namun, saya hanya kekal tenang sebab saya tahu yang saya tidak bersalah.

“Kalau ikutkan saya boleh ambil tindakan balas tapi bila difikirkan semula, saya anggap semua ini adalah ujian.

“Mungkin ini cara Allah nak ajar saya di atas kesilapan-kesilapan terdahulu. Bila saya menang kes ini, saya sangat bersyukur,” katanya kepada MH.

Penyanyi lagu Generasiku itu berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media festival muzik, Metalverse yang berlangsung di Restoran Rebung, Kuala Lumpur, pada Isnin.

Festival Metalverse yang menampilkan barisan band popular seperti OAG, Bunkface, SOG dan The Red Jumpsuit Apparatus bakal berlangsung pada 31 April dan 1 Mei depan di Megastar Arena, Kuala Lumpur.

Demi Keluarga & Anak, Pilih Memaafkan

Radhi turut menegaskan keputusannya untuk tidak mengambil sebarang tindakan susulan adalah kerana tidak mahu persengketaan dengan bekas isteri berpanjangan.

“Pihak peguam yang mewakili isteri ada menasihati dia untuk buat permohonan maaf terbuka. Saya juga boleh sahaja ambil tindakan saman fitnah disebabkan keterangan palsu.

“Macam-macam tindakan saya boleh buat tapi bila saya fikir semula, kalau macam ini, bila nak habis? Nak kena naik turun mahkamah lagi.

“Pada saya, lebih baik tak payahlah. Lebih baik saya berdiam diri sahaja,” ujarnya lagi.

Tambah Radhi, dia memilih untuk memaafkan dan melupakan segala yang berlaku demi kebaikan keluarga serta anak-anak mereka.

“Walaupun saya dilayan dengan agak ‘brutal’, mungkin bekas isteri ada khilaf bila meluahkan emosi. Saya lihat daripada sudut positif sahaja. Lagi pun dia adalah bekas isteri saya. Dia juga menjaga anak-anak saya.

“Jadi, saya tak memanjangkan lagi kisah ini. Selepas kes itu, hubungan kami menjadi lebih baik. Mungkin dia pun jadi lebih bertenang sebab saya tidak mengambil apa-apa tindakan balas.

“Kalau nak ambil tindakan boleh sangat sebab saya sampai kena masuk lokap. Nasib baik bukan penjara.

“Kalau saya sampai kena masuk penjara, mungkin saya tidak akan berpuas hati. Saya memilih untuk memaafkan dan melupakan,” akhirinya.

Sebelum ini, Radhi didakwa dengan sengaja mencederakan Nur Shahira di Kota Damansara, Selangor pada 19 April 2022.

Radhi dan Nur Shahira mendirikan rumah tangga pada 14 April 2014, namun bercerai pada Julai 2019. Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan dua orang cahaya mata.

Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.

Published by
Aizam Manaf