
Gadis Iban dari Sarawak, Viviana Lin Winston, diumumkan sebagai juara Miss Grand Malaysia 2025 selepas menewaskan tujuh peserta lain pada malam kemuncak pertandingan yang berlangsung di HGH Convention Centre di sini, malam tadi.
Viviana, 25, bukan sahaja berjaya menambat hati juri menerusi penampilannya dalam kategori pakaian tradisional, pakaian sukan, gaun malam dan sesi soal jawab, malah turut mencatat sejarah sebagai wanita pertama berketurunan Iban yang merangkul gelaran berprestij itu.
Dengan kemenangan ini, beliau akan mewakili Malaysia ke pertandingan Miss Grand International 2025 yang dijadual berlangsung di Bangkok, Thailand pada bulan Oktober akan datang.
Viviana yang merupakan graduan dari Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dilihat menyerlah sepanjang pertandingan berlangsung dengan keyakinan diri, disiplin dan karisma yang seimbang di pentas.
Kejayaannya turut mencuri perhatian rakyat Sarawak yang menzahirkan sokongan penuh terhadap anak jati negeri itu dalam media sosial sejak peringkat awal pertandingan.
Bersaing secara sihat, beliau berjaya menewaskan dua pencabar terdekat, iaitu Dr. Nisha Thayananthan yang muncul sebagai naib juara, serta Rochil Sagarino dari Sabah yang menduduki tempat ketiga.
Demi membawa nama Malaysia, Viviana dijangka memulakan latihan intensif dalam beberapa bulan akan datang bagi memperkemaskan persiapan ke peringkat antarabangsa, sekali gus menggalas harapan pencinta dunia ratu cantik tempatan untuk kembali menyerlah di pentas Miss Grand International.
Imbas kembali, hanya empat wakil Malaysia berjaya menempatkan diri dalam kelompok peserta terbaik sepanjang 12 tahun penyertaan.
Pada edisi 2016, Malaysia pertama kali berada dalam kelompok 20 terbaik menerusi perwakilan Ranmeet Jassal. Kemudiannya pada 2020, Jasabel Robert berjaya mengharumkan nama Malaysia sebagai peseta top 10 apabila memenangi gelaran Miss Popular Vote.
Pada 2021 pula, Lishalliny Kanaran membanggakan negara apabila berjaya memasuki kelompok 20 terbaik dan dinobatkan sebagai pemenang terbaik kostum Nasional. Terbaharu pada 2024 pula, Melisha Lin dinobatkan sebagai 5th
runner-up pertandingan itu.Jadi adakah Viviana Lin Winston akan berjaya mengulangi kejayaan beberapa ‘senior’nya dalam pertandingan ini? Sama-sama kita nantikan.
++ Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan