
Nama Viviana Lin Winston, wakil Malaysia ke pentas Miss Grand International 2025, sekali lagi mencuri perhatian ramai apabila memperkenalkan kostum nasionalnya yang dinamakan “The Queen of Terabai Iban” atau dalam Baha sa Melayu, Ratu Terabai Iban. Kostum tersebut merupakan hasil rekaan oleh pereka berbakat besar, Raja.
Busana ini bukan sekadar pakaian tradisional, tapi satu karya seni yang membawa makna besar tentang kekuatan, kepimpinan dan keindahan warisan masyarakat Iban.
Terinspirasi daripada figura wanita Iban yang dikenali sebagai Indu Ketua yang merupakan seorang pemimpin yang dihormati dan pelindung komuniti, rekaan ini menggabungkan unsur keberanian seorang pahlawan dengan keanggunan seorang ratu.
Elemen utama busana ini, terabai atau perisai tradisional, menjadi lambang pelindung warisan dan semangat juang masyarakat Iban. Dalam tangan seorang wanita, terabai bukan sekadar senjata, tetapi simbol kekuatan dan tanggungjawab untuk menjaga maruah serta identiti bangsa.
Raja menzahirkan semangat itu dengan rekaan yang sarat perincian. Dari ukiran etnik, hiasan logam perak, hingga regalia berinspirasikan adat. Hasilnya, tercipta satu kostum yang bukan sahaja gah dan berani, tetapi juga menonjolkan keseimbangan sempurna antara kekuatan dan keanggunan feminin.
Menurut konsep asal, “The Queen of Terabai Iban” melambangkan seorang wanita yang berdiri di garis hadapan, melindungi tradisi sambil memimpin bangsanya ke arah masa depan. Ia juga menjadi simbol pemerkasaan wanita membuktikan bahawa kemajuan dan akar budaya boleh berpadu indah dalam satu identiti yang membanggakan.
Viviana akan tampil menggayakan kostum nasional ini malam ini di pentas Miss Grand International 2025, sekaligus memperkenalkan budaya negara yang pelbagai dan kaya sejarah.
Imbas kembali, Malaysia pernah sekali dinobatkan sebagai pemenang kostum nasional terbaik pada edisi 2021 menerusi perwakilan Lishaliny Kanaran yang menggayakan busana kostum diinapirasikan daripada legenda Ulek Mayang.
++Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan