Berita

Video Lama Anak Tular Semula, Ini Penjelasan Neelofa… PU Riz Turut Ulas – “Itu Dua Tahun Lepas, Bilal Masih Kecil…”

Share

Wajah anak sulung selebriti dan usahawan terkenal, Neelofa iaitu Muhammad Bilal dikatakan kembali tular di media sosial.

Mengulas perkara tersebut, Neelofa menjelaskan video berkenaan sebenarnya merupakan sebuah konten iklan yang dirakam dua tahun lalu.

Menurut Neelofa, dia sendiri tidak memahami mengapa video tersebut kembali menjadi perbualan ramai sedangkan ia tidak pernah dipadam daripada mana-mana platform media sosial miliknya sejak dimuat naik.

“Itu video dua tahun lepas. Ketika itu Bilal masih kecil lagi. Lagipun, video itu hanya paparkan sipi-sipi sahaja. Kita sedang shoot untuk sebuah iklan kambing perap.

“Saya pun tak tahu kepada video itu viral semula. Video itu memang ada sahaja di akaun Intagram saya. Saya tak pernah padam pun.

“Bila saya tengok video itu kembali viral, saya jadi tertanya-tanya kenapa. Bila isu ini tular, barulah saya tahu sebabnya,” katanya kepada MH.

Neelofa berkata sedemikian ketika ditemui di majlis pelancaran kempen Ramadan Astro yang berlangsung di Astro Bukit Jalil pada Selasa.

Kekal Jaga Privasi Anak-Anak

Baru-baru ini, tular di media sosial mengenai dakwaan yang mendakwa Neelofa kini sudah terbuka untuk berkongsi wajah anak-anaknya di media sosial susulan tersebarnya video yang memaparkan sebahagian wajah Bilal.

Mengulas perkara tersebut, isteri kepada pendakwah bebas, PU Riz ini bagaimanapun menegaskan dirinya masih berpegang teguh dengan pendirian untuk menjaga privasi dan tidak terlalu mendedahkan tentang anak-anaknya kepada umum.

“Sebenarnya saya lebih gembira bila tidak terlalu mendedahkan tentang anak-anak. Ia memberikan ketenangan pada saya. Jadi, orang tak perlu nak komen, banding-bandingkan atau persoalkan cara mereka dibesarkan.

“Saya tak perlu nak dengar pandangan orang di luar sana. Saya akan kekal dengan cara seperti ini sehinggalah mereka besar sedikit. Masa kecil ini, tak perlulah kami tunjuk,” kongsinya lagi.

Anak Dibesar Seperti Kanak-Kanak Biasa

Tambah Neelofa lagi, meskipun tidak terlalu mendedahkan anak-anak di media sosial, dia menjelaskan kehidupan mereka tetap berjalan seperti kanak-kanak lain apabila berada di luar rumah.

“Jika di luar, kami bagi kebebasan dan tak sorok pun sama ada Abbas atau Bilal. Bila kami keluar, naik kapal terbang, bercuti atau pergi mall, kami juga seperti orang biasa.

“Kalau kita terserempak, anda akan nampaklah mereka. Ada juga yang tak faham situasi kami. Mereka cuba nak ambil gambar tapi kita tegurlah baik-baik. Akhirnya, mereka faham.

“Saya rasa masyarakat pun sudah faham tentang privasi. Walaupun bukan artis, kini ramai ibu bapa yang memilih untuk tidak terlalu dedahkan anak mereka. Saya rasa ini satu perkara yang baik,” ujarnya.

Sementara itu, PU Riz pula memaklumkan dia hanya akan berkongsi perihal anak-anak mereka di media sosial apabila anak-anak sudah bersedia untuk menyampaikan dakwah.

“Kami mungkin akan dedahkan apabila dia sudah mampu menyampaikan dakwah. Tunggulah sehingga dia lancar bercakap. Ada budak yang cepat bercakap.

“Alhamdulillah Bilal sudah boleh bercakap sikit-sikit. Walaupun belum lancar, kita perlahan-lahan dahulu,” katanya.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini

Published by
Aizam Manaf