
Pelakon cantik, Uqasha Senrose mendedahkan dia lebih selesa menurunkan berat badan secara semula jadi berbanding memilih kaedah cepat yang boleh mendatangkan kesan sampingan pada masa depan.
Menurutnya, selepas melahirkan cahaya mata sulung, dia berjaya menurunkan lima kilogram melalui senaman dan gaya hidup aktif.
“Saya banyak bersenam, ambil supplement dan jaga anak. Saya tiada pembantu dan jaga sendiri. Anak pula baru setahun dan tiga hingga empat kali berjaga malam.
“Malah, saya juga bersukan. Saya aktif bermain badminton dan pickleball. Aktiviti ini banyak keluar peluh. Mungkin sebab itu saya berjaya turun berat,” katanya kepada MH.
Uqasha berkongsi perkara tersebut ketika ditemui di majlis tayangan perdana filem Munajjim: Sekutu Iblis, baru-baru ini.
Bagi Uqasha, sebarang bentuk short cut untuk menurunkan berat badan hanya memberi impak negatif terhadap tubuh badan dan seolah-olah tidak mensyukuri nikmat tubuh yang telah Allah SWT kurniakan.
“Pada saya, nak turunkan berat badan ini tiada jalan pintas. Kalau guna jalan pintas, ia akan beri kesan kepada tubuh badan kita. Dalam tubuh badan kita ini, Allah sudah berikan yang terbaik.
“Jadi, kalau kita kecilkan usus atau potong bahagian dalam badan, ia seperti menarik nikmat Allah. Ada yang boleh makan dua sudu sahaja.
“Kita tak boleh nak menjalani kehidupan seperti biasa terutama sekali nikmat makan. Ada macam-macam cara lain lagi nak turun berat,” katanya lagi.
Dalam masa sama, Uqasha turut menasihatkan orang ramai supaya menjaga aspek pemakanan, terutamanya pengambilan gula berlebihan yang kini semakin normal dalam budaya makanan tular.
“Kena rajin bersenam dan jaga pemakanan. Ketika ini, ramai jual pencuci mulut yang manis-manis. Bila viral sahaja, orang akan makan dengan banyak.
“Pada saya, pengambilan benda manis ini perlu dikawal. Boleh nak makan tapi berpada-pada. Saya juga suka makanan manis tapi saya kawal dan tidak ambil secara berlebihan,” katanya.
Jelasnya lagi, sebagai pelakon yang kini sibuk menjalani penggambaran untuk drama 50 episod, dia masih memerlukan gula dalam kadar terkawal untuk kekal bertenaga.
“Malah, ketika ini, saya sedang menjalani penggambaran untuk drama 50 episod. Jadi, saya perlukan gula walau pun sedikit.
“Saya cuba minum air kosong sahaja tapi tetap tak jalan. Kalau shooting seharian, mungkin saya akan makan kek atau manisan lain,” katanya lagi.
Terdahulu, menerusi beberapa perkongsian di Instagram, Uqasha memaklumkan bahawa dia berjaya menurunkan berat sebanyak 17 kilogram hanya dengan rutin senaman dan pengambilan makanan tambahan, tanpa sebarang prosedur ekstrem.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini