Categories: Berita Hiburan

Uqasha Senrose Nekad Cerai, Prosiding Terpaksa Ditangguhkan Sebab Kamal Adli Tidak Hadir Ke Mahkamah

Share

Pelakon, Uqasha Senrose nekad untuk menuntut permohonan cerai terhadap suaminya yang juga aktor, Kamal Adli.

Bagaimanapun, prosiding perceraian pertama yang berlangsung pagi ini terpaksa ditangguhkan pada 28 Oktober hadapan disebabkan ketidak hadiran Kamal di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan.

Menurut peguam syarie yang mewakili Uqasha, Nurfarhana Abd Manaf, pihak defendan maklum mengenai prosiding pada hari ini tetapi tidak hadir disebabkan sibuk dengan penggambaran.

“Alhamdulillah Uqasha sendiri hadir seawal jam 9 pagi hari ini dan pihak defendan, tidak hadir tetapi diwakili penguam syarie Abdul Hadi Mohamad Saleh.

“Jadi disebabkan ketidak hadiran pihak defendan hari ini, kes tidak dapat diteruskan dan terpaksa ditangguh kepada tarikh yang akan datang iaitu minggu depan 28 Oktober,”katanya yang ditemui bersama Uqasha diperkarangan mahkamah.

Sementara itu Nurfarhana, turut memaklumkan prosiding yang akan berlangsung pada minggu hadapan akan menentukan sama ada pihak defendan bersetuju atau tidak dengan tuntutan anak guamnya.

Ditanya punca anak guamnya itu memfailkan perceraian, Nurfarhana berkata tiadanya persefahaman menyebabkan anak guamnya nekad untuk membuat keputusan tersebut.

“Tujuan perceraian adalah alasan biasa iaitu tiada persefahaman. Plaintif memfailkan perceraian di bawah Seksyen 47, jadi memang alasan tiada persefahaman.

“Oleh kerana anak guam merasakan tidak boleh diteruskan, jadi keputusan bercerai terpaksa diambil walaupun bukan mudah.

“Kalau ikutkan memang pelbagai usaha supaya tak terjadinya tuntutan perceraian pada hari ini. Tapi kita serahkan kepada jodoh. Kalau adalah, adalah. Jika tidak, inilah pengakhiran Uqasha,” katanya lagi.

Nurfarhana tidak menafikan dakwaan anak guamannya memfailkan permohonan cerai pada 1 Oktober lalu tetapi sehingga ke hari ini, tidak usaha untuk memujuk daripada pihak Kamal.

“Apa yang saya dimaklumkan tiada. Saya tak pasti kalau sebaliknya. Setakat ini tiada. Berkenaan dakwaan berapa lama tidak lagi tinggal sebumbung yang itu tidak boleh didedahkan.

“Sejak anak guam merasakan tidak boleh teruskan perkahwinan, jadi keputusan bercerai terpaksa diambil walaupun bukan mudah.

“Soal kebajikan anak itu kita tak boleh sentuh. Saya harap kita fokus kepada perceraian,” katanya lagi.

Terdahulu rumah tangga pasangan berkenaan dikatakan mulai bergolak sejak April lalu, namun ia bukan berpunca daripada orang ketiga. 

Difahamkan, Uqasha kini tidak lagi tinggal sebumbung dengan Kamal dan menetap di rumah ibunya.

Sebelum ini, beberapa hantaran berunsur luahan hati di media sosial milik Uqasha menarik perhatian ramai sehingga mencetuskan pelbagai spekulasi dalam kalangan netizen mengenai status rumah tangganya.

Uqasha Senrose dan Kamal Adli disatukan sebagai suami isteri pada 5 November 2021 dalam satu majlis di Janda Baik, Pahang.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Hawra Uqaira.

Published by
Aizam Manaf