
Penyanyi, Shila Amzah berpendapat ibunya, Fauziah Sarman juga berhak menemukan kebahagiaan dengan mendirikan rumah tangga bersama pilihan hati, Brigedier General Tuan Zainal Abidin Muhammad Saleh.
Menurut Shila, orang ramai tidak wajar mempertikaikan keputusan ibunya untuk kembali berkahwin kerana segala perancangan telah disusun cantik Allah SWT.
“Walaupun baru berkahwin beberapa hari, saya dapat lihat ibu saya sangat gembira selepas bertemu dengan babah. Selepas apa yang berlaku, ibu saya sangat sukar untuk jatuh cinta.
“Apabila diberikan peluang kedua ini, ibu dan babah saling melengkapi diri masing-masing. Ada yang kata, bila sudah tua ini lebih baik hidup dengan anak-anak berbanding berkahwin.
“Untuk mulut netizen yang berkata sebegitu, anak-anak juga ada kehidupan sendiri. Takkanlah kita biarkan sahaja ibu kita sorang-sorang.
“Diusia mana pun, mereka berhak mengecapi bahagia,” katanya kepada MH.
Penyanyi lagu Patah Seribu itu berkata demikian ketika ditemui di showcase dan majlis pelancaran album terbaharu berjudul ‘SA25’ di Damansara Performing Art Center (DPAC), Petaling Jaya pada Selasa.
Malah, Shila juga percaya bapa baharunya itu merupakan individu tepat untuk mengisi kekosongan di hati ibunya.
“Alhamdulillah, saya sangat gembira buat ibu dan babah saya. Perkenalan mereka memang agak singkat. Sama juga seperti mana perkenalan saya dengan Ubai. Daripada berkawan, terus ajak kahwin.
“Ibu saya juga melalui situasi yang sama. Bila saya berjumpa dengan babah, saya dapat rasakan aura yang bagus.
“Bila kita sudah pernah menempuh hal-hal aneh dalam hidup, bila tengok sekilas, kita dapat tahu dia adalah orang yang tepat,” ujarnya lagi.
Katanya lagi, sepanjang tempoh perkenalan, dia dan suami banyak memantau pergerakan ibunya itu.
“Saya dan Ubai menjadi ‘pengawas’ kepada ibu saya. Bila nampak ibu dan babah serasi, kami rasa mereka tidak perlu menunggu lama lagi.
“Kita teruskan sahaja ke fasa perkahwinan. Tiba-tiba saya pula yang bawa peranan sebagai ibu pengantin. Hal ini sangat lucu.
“Bila tengok kembali foto majlis perkahwinan, wajah saya sangat tak keruan kerana nak pastikan majlis berjalan lancar. Doalah yang baik-baik buat ibu dan babah saya,” katanya.
Ditanya sama ada dia meletakkan sebarang syarat untuk sesiapa yang ingin berkahwin dengan ibunya, Shila menjelaskan mereka hanya mengharapkan yang terbaik.
“Seperti mana saya tidak memikirkan soal kahwin sebelum menikah dengan suami saya, hal itu juga berlaku kepada ibu. Kami langsung tidak memikirkan tentang ciri-ciri yang perlu ada untuk bakal suami.
“Tapi ciri-ciri yang kami tak nak memang ada dan panjang. Alhamdulillah, semuanya okay buat kami,” akhirinya.
Terdahulu, Fauziah dan Zainal selamat melangsungkan majlis pernikahan pada Sabtu lalu.
Sebelum ini, Fauziah pernah mendirikan rumah tangga bersama penyanyi dan pelakon ND Lala pada tahun 1989, namun pasangan itu bercerai selepas 34 tahun hidup bersama.
Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara.
Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.
Kredit Foto: Instagram Shila Amzah