Categories: Berita Hiburan

“Untuk Jadi Pemenang, Harus Follow Sampai Ke Pentas!,” — Exists Tawar Gitar Manuel Rodriguez & Set Drum PDP, ‘Lucky Draw’ Paling ‘Premium’!

Share

Konsert Exist Premium Live @ PJ bakal menjanjikan sesuatu yang cukup istimewa buat para peminat, bukan hanya dari segi persembahan tetapi juga hadiah cabutan bertuah bernilai tinggi yang ditawarkan.

Exists akan memberikan dua hadiah eksklusif iaitu gitar akustik milik Along serta satu set dram penuh jenama PDP kepada dua pemenang bertuah daripada kalangan pembeli tiket konsert tersebut.

Menurut Ujang, hadiah yang diberikan bukan sembarangan, malah mempunyai nilai sentimental tersendiri dalam perjalanan seni Exists.

“Kami sangat berbesar hati untuk menghadiahkan sebuah gitar akustik kepunyaan Along buat peminat bertuah.

“Gitar Manuel Rodriguez keluaran Sepanyol ini pernah digunakan Along untuk merakamkan lagu-lagu seperti Setanggi Syurga (Inteam), Salam Rindu (Fathi Naim) dan juga persembahan sewaktu Studio Kool bersama Exists sewaktu rangka promosi Konsert Exists Reunion 2019,” katanya.

Malah, kerjasama bersama JS Music turut membolehkan Exists menghadiahkan set drum lengkap profesional.

“Dengan kerjasama JS Music, satu set dram jenama PDP juga akan diberikan kepada peminat bertuah yang merupakan pembeli tiket konsert itu kelak.

“Semua pengumuman tentang tata cara untuk menjadi pemenang akan diumumkan di media sosial dalam masa terdekat,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Ujang turut menjelaskan, peminat perlu hadir dan mengikuti sehingga ke pentas pada hari konsert untuk melayakkan diri sebagai pemenang.

“Untuk jadi pemenang, anda harus follow sampai ke pentas JioSpace 20 Disember nanti” ujarnya.

Setiap pembeli tiket juga akan menerima peluang cabutan bertuah yang berbeza mengikut kategori tiket yang dibeli.

Pemilik tiket Premium akan memperoleh tiga kali peluang, pembeli tiket VIP pula memperoleh dua kali peluang, manakala pembeli tiket Diamond menerima satu peluang untuk memenangi hadiah eksklusif tersebut.

Selain itu, 100 peminat bertuah turut berkesempatan untuk bergambar secara peribadi bersama semua anggota Exists pada malam persembahan berkenaan.

 

Pengertian ‘Premium’

Selepas berjaya mengadakan siri persembahan tanpa henti sejak tahun 2019 serta kolaborasi bersama Slam pada Julai lalu, Exists mengambil langkah baharu dengan mempersembahkan EXISTS PREMIUM LIVE @ PJ, konsert penutup 2025 yang dihasilkan dengan standard eksklusif.

Pada asalnya dijadual berlangsung pada 4 Oktober, namun selepas mempertimbangkan faktor teknikal dan perbincangan antara Exists dan penganjur, konsert tersebut kini ditunda ke

20 Disember 2025 di Petaling Jaya, Selangor.

“Dengan rendah hati kami di JioBuddy memaklumkan, EXISTS PREMIUM LIVE @ PJ telah ditunda kepada tarikh baharu iaitu 20 Disember 2025, di lokasi dan waktu yang sama.

“Penundaan tarikh baharu ini adalah kesepakatan bersama Exists supaya penganjuran EXISTS PREMIUM LIVE @ PJ bukan sekadar sebuah lagi persembahan pentas yang biasa ditonton tetapi sesuai dengan tajuk yang dibawa, ia mesti bersifat premium dan eksklusif,”

ujar Sean Ng mewakili JioBuddy.

Konsert yang bersifat intim ini dijangka membawa peminat lebih dekat dengan anggota Exists serta perkongsian sentimental mengenai perjalanan muzik mereka.

“Ramai peminat yang mula bertanyakan maksud atau konsep ‘premium’ yang dimaksudkan oleh Exists dalam persembahan kali ini.

“Apa yang boleh kami katakan bahawa konsert kali ini akan menjadi sebuah konsert yang lebih intimate, lebih dekat dan lebih up close and personal yang bakal dirasai oleh semua peminat,” ujar Musa pula.

Selain persembahan lagu-lagu malar segar, peminat juga bakal menikmati sesi perkongsian mengenai kisah di sebalik setiap lagu.

Sementara itu Ajai berpendapat, konsert ini akan membawa elemen pengalaman baharu yang belum pernah dilakukan Exists sebelum ini.

“Momen seperti ini belum pernah diabadikan dalam mana-mana konsert yang telah dilaksanakan.

“Kami mahu para peminat merasakan makna ‘premium’ yang akan dicambahkan melalui rasa dan nilai sentimental bersama Exists pada malam tersebut,”

jelasnya.

Tiket & Informasi Rasmi

Tiket berharga Premium RM588, VIP RM488 dan Diamond RM368, dengan kategori Diamond kini ditambah jumlah kerana permintaan tinggi.

Pembelian boleh dibuat menerusi laman web rasmi atau melalui talian ‘hotline’ mereka khusus kepada pembeli dalam kategori OKU.

Peminat yang sudah membeli tiket sebelum penundaan tarikh tidak perlu bimbang kerana tiket kekal sah pada tarikh baharu dan sebarang pertanyaan mengenai tiket boleh menghubungi pasukan yang berkaitan.

Untuk pembelian berkumpulan atau korporat pula, diskaun turut disediakan dengan 20% bagi pembelian 30 tiket, 30% untuk 50 tiket dan 40% untuk 100 tiket.

Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini

Published by
MH