Categories: Berita Hiburan

Umur 14 Tapi Jiwa Besar, Umairah Lancar ‘Sayap’ – “Lagu Ini Menyentuh Jiwa Saya Kerana…”

Share

Industri muzik tanah air terus meriah dengan kehadiran bintang remaja berusia 14 tahun, Umairah, yang kini tampil dengan single sulung berjudul Sayap.

Di bawah naungan SN Legacy Sdn Bhd, Umairah sebelum ini pernah mendapat perhatian menerusi lagu raya pertamanya, Tak Balik Raya.

Sayap adalah ciptaan Resa Husin dan Farouk Roman,  mengangkat kisah cinta yang indah tetapi akhirnya berakhir dengan kehilangan.

Walaupun bertemakan cinta, Umairah mengakui tertarik dengan melodi lagu ini yang dekat di hati.

Lebih manis, peluang merakamkan Sayap menjadi satu pengalaman berharga buat dirinya yang sebelum ini hanya menyanyikan karya penyanyi lain di pentas.

Saya sangat teruja kerana diberi peluang untuk menyanyikan Sayap.

“Lagu ini begitu menyentuh jiwa saya kerana menceritakan betapa indahnya jatuh cinta tetapi pedihnya menerima kehilangan.

“Saya berharap agar pendengar dapat merasakan emosi yang saya sampaikan,” katanya.

Umairah & Datuk Seri Siti Nurhaliza

Harapan Baharu Untuk Pendengar

Dalam pada itu, pelancaran Sayap bukan sekadar memperkenalkan Umairah sebagai wajah baharu muzik tempatan, malah mengukuhkan peranan SN Legacy Sdn Bhd bersama Universal Music Malaysia dalam usaha melahirkan bakat generasi muda.

Dengan kekuatan melodi, lirik yang dekat di hati dan persembahan tulus Umairah, Sayap diyakini mampu meninggalkan kesan mendalam pada pendengar.

Sayap boleh didapati di semua platform digital mulai 16 September 2025.

Video muzik rasmi arahan Rifaiee Omar dari Rio Films Production pula telah dilancarkan pada 17 September lalu, jam 3 petang di YouTube Universal Music Malaysia.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini

 

Published by
MH