Categories: Hiburan

Uda & Dara Kembali Dipentaskan! Istana Budaya Hidupkan Semula Karya Ikonik Usman Awang Dalam Versi Muzikal Kontemporari

Share

Selepas sekian lama dinantikan pencinta seni, karya agung Uda dan Dara kini kembali menghiasi pentas dan kali ini dalam versi muzikal yang lebih segar, moden dan sarat emosi.

Istana Budaya mengumumkan bahawa pementasan baharu ini akan berlangsung dari 20 hingga 23 November 2025 di Playhouse Theatre, The Campus, Ampang, menjadikannya antara produksi paling dinantikan.

Teater muzikal ini merupakan adaptasi daripada naskhah Sasterawan Negara, Allahyarham Dato’ Dr. Usman Awang, sebuah karya yang sejak dahulu menjadi simbol cinta dua darjat dan perjuangan menentang ketidakadilan sosial.

Kali ini, pementasan diberi suntikan tenaga baharu tanpa menghilangkan keaslian bahasa puitis yang menjadi identiti karya tersebut.

Kolaborasi Penuh Makna Istana Budaya & Mekar Budaya

Pementasan ini direalisasikan menerusi kolaborasi antara Istana Budaya dan Pertubuhan Rumpun Seni Mekar Budaya (Mekar Budaya), sebuah NGO seni persembahan yang telah lama memperjuangkan naskhah-naskhah sastera besar tanah air.

Kerjasama ini bukan sekadar produk seni, tetapi usaha bersama memupuk minat generasi muda terhadap karya klasik tempatan.

Mekar Budaya, yang ditubuhkan pada 2002 oleh Allahyarham M. Nasri Ayob dan Dr. Marlenny Deenerwan, sudah lama sinonim dengan pementasan berkualiti dan dokumentari kesenian.

Jadi, tidak hairan apabila produksi kali ini dipandang sebagai antara adaptasi paling besar bagi Uda dan Dara dalam era moden.

Antara fokus utama pementasan ini adalah untuk mengangkat semula keindahan Bahasa Melayu puitis sejajar dengan sambutan Dekad Bahasa Kebangsaan.

Selain itu, ia turut bertujuan memperkenalkan kembali karya Usman Awang kepada audiens muda yang mungkin belum sempat menelusuri naskhah asal.

Walaupun diberi wajah kontemporari, produksi ini mengekalkan roh asal Uda dan Dara. Elemen tradisional seperti muzik dan tarian Melayu tetap menjadi teras persembahan, namun digabungkan dengan gaya muzikal moden untuk menambah energi dan jiwa pada pementasan.

Pengarah Dua Generasi, Pelakon-Pelakon Hebat

Produksi ini diarahkan bersama oleh Nik Muhamad Faiszulikwan (Istana Budaya) dan Dr. Marlenny Deenerwan (Mekar Budaya), dengan Aqil Rozai bertindak sebagai Penolong Pengarah.

Barisan pelakonnya pula bukan calang-calang, antaranya Johan As’ari (Uda), Zera Hariz (Dara), Jay Iswazir, Farah Ahmad, Azwan Hassan, Sara Sulaiman dan Amerul Affendi. Kesemua mereka dipilih bagi menghidupkan kembali watak-watak ikonik dalam naskhah ini.

Kisah cinta tragis Uda dan Dara tidak pernah lapuk. Ia mengisahkan cinta dua darjat yang berdepan halangan, penindasan, dendam dan pengorbanan.

Uda, seorang pemuda kampung yang miskin, jatuh cinta terhadap Dara, gadis bangsawan yang menjadi rebutan. Konflik makin memuncak dengan campur tangan Alang Bakhil, seorang tokoh kaya dan tamak yang tidak pernah berpihak kepada golongan marhaen.

Klimaks tragisnya mengembalikan mesej besar yang cuba disampaikan Usman Awang bahawa cinta sejati, maruah dan kemanusiaan jauh lebih bernilai daripada harta, kuasa atau kedudukan sosial. Tema ini kekal relevan biarpun era berubah, menjadikan karya ini tidak pernah ketinggalan zaman.

Dari aspek teknikal, pementasan ini tampil dengan visual lebih dramatik hasil penggunaan teknologi pencahayaan moden, sistem bunyi berkualiti tinggi serta rekaan pentas yang kreatif.

Namun begitu, elemen tradisional tetap dikekalkan, khususnya melalui kostum dan set berasaskan budaya Melayu yang memberi sentuhan nostalgia kepada penonton.

Pementasan akan berlangsung selama empat hari dengan lima persembahan, termasuk tiga persembahan malam dan dua slot matinee.

Tiket dijual pada harga antara RM40 hingga RM150 melalui platform CloudJoi, dengan diskaun 15 peratus ditawarkan kepada warga emas, penjawat awam, pelajar dan golongan OKU. Tidak mustahil tiket akan habis lebih awal memandangkan sambutan terhadap karya klasik selalu menggalakkan.

Untuk sebarang pertanyaan atau pembelian tiket, orang ramai boleh melayari portal serta media sosial rasmi Istana Budaya.

++ Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi TikTok, Instagram, Facebook & Telegram Media Hiburan 

Published by
MFA