Categories: Hiburan

TTMM: “Tak Adil Untuk Dia Bersusah Payah Bersaing…,” – Bukan Mengaku Kalah, Aziz M. Osman & Ara Kongsi Sebab Tarik Diri

Share

Selepas empat minggu bersaing, pengarah terkenal, Aziz M. Osman bersama anaknya, Ara Aziz membuat keputusan mengejutkan untuk menarik diri daripada program realiti Talk To My Manager (TTMM).

Menurut Aziz, keputusan itu diambil selepas perbincangan panjang melibatkan seluruh keluarga, memandangkan wujud kekangan masa antara komitmen kerja, pelajaran dan tanggungjawab lain.

“Sebenarnya berat untuk saya buat keputusan ini. Selepas berbincang bukan sahaja dengan Ara tetapi ibunya dan ahli keluarga yang lain, kami tidak dapat mengelak selain daripada menarik diri.

“Ia terpaksa dibuat disebabkan pertembungan masa saya dan Ara. Apabila kami terlibat di dalam program ini, kami perlu beri tumpuan 100% terutamanya saya yang menjadi pengurusnya.

“Saya perlu mereka konsep persembahan. Seperti semua tahu, Ara ini ada ‘niche’ yang tersendiri. Agak sukar untuk dia muncul sebagai penyanyi. Dia perlu tampil sebagai penghibur,” katanya kepada MH.

Tambah Aziz lagi, persembahan Ara sentiasa menampilkan elemen lakonan sejak minggu pertama, kerana itu adalah kekuatannya.

Namun, untuk menghasilkan persembahan sebegitu, dia terpaksa mengorbankan banyak kerja lain.

“Ara juga masih sibuk dengan jadual persekolahan. Dia terpaksa membahagikan masa untuk melakukan banyak perkara.

“Walaupun keputusan ini terlalu berat, tetapi ini yang terpaksa kami lalukan. Keputusan ini sebenarnya sudah dibuat sejak minggu kedua lagi.

“Kami merancang untuk menarik diri di minggu kelima. Namun, setiap minggu ia semakin membebankan,” jelasnya lagi.

Ara turut menegaskan keputusan itu bukan dibuat secara sebelah pihak, sebaliknya hasil perbincangan bersama.

“Saya memang minat sangat dengan program TTMM ini. Namun, ini adalah keputusan daripada kami berdua. Kami ada banyak perkara lain yang perlu dibuat.

“Saya pula susah nak fokus terhadap sesuatu perkara kalau perlu buat perkara lain. Saya tahu kekuatan saya bukan dalam bidang nyanyian seperti peserta-peserta lain.

“Jadi, saya patut beri peluang kepada mereka untuk buktikan kemampuan terbaik mereka,” katanya.

Bukan Tanda Kalah, Tapi…

Mengulas lanjut, Aziz menafikan penarikan diri itu bermaksud mereka mengaku kalah, sebaliknya mahu memberi laluan kepada peserta lain yang lebih layak menyerlah.

“Walaupun ini merupakan program hiburan kekeluargaan tapi ia tetap pertandingan. Bila bertanding, kita sudah tahu siapa yang akan jadi pemenang atau terkeluar.

“Kami juga tahu yang kami akan terkeluar bila-bila masa sahaja. Agak sukar untuk Ara bersaing dengan Thalita, Ammar dan Amad.

“Bukan nak kata kami siang-siang sudah mengaku kalah tapi forte Ara berbeza. Jadi, agak tak adil untuk Ara bersusah payah dan bersaing dengan peserta-peserta seperti ini,” katanya.

Pada minggu keempat, tiada penyingkiran diumumkan oleh pihak produksi, namun produksi akur dengan keputusan Aziz dan Ara.

Sementara itu, pasangan Siti Saerah dan Amad tampil dengan persembahan memukau menerusi lagu Cindai, sekali gus merampas kedudukan pertama dengan markah tertinggi 91.33%.

Tempat kedua diraih oleh Thalita (anak Shuib) dengan markah 83.00%, manakala Auddra (anak Sharifah Shahirah) menduduki tempat ketiga dengan 79%.

Berikut adalah keputusan penuh minggu ke-4 TTMM:

1. Siti Saerah & Amad – 91.33%
2. Shuib & Thalita – 83.00%
3. Sharifah Shahirah & Auddra – 79%
4. Liza Hanim & Marsya – 78.67%
5. Ameng & Ammar Haikal – 76.00%
6. Aziz M. Osman & Ara Aziz – 67.33%
7. Ina Naim & Hadie – 67.00%
8. Sharifah Zarina & Athalia – 66.67%

Talk To My Manager dikendalikan oleh Datuk Aznil Hj. Nawawi (Pak Nil) dengan juri tetap Che Puan Sarimah dan Datuk AC Mizal.

Program ini bersiaran selama tujuh minggu setiap Ahad, jam 9 malam di Astro Ria (Saluran 104), serta boleh distrim menerusi Astro GO dan aplikasi sooka.

Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara.
Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini

Published by
Aizam Manaf