Selepas dua bulan menjalani diet yang ekstrem, aktor Zul Ariffin berjaya menurunkan sebanyak 20 Kilogram (Kg) iaitu dari 101Kg kepada 81Kg.
Menurut Zul, proses tersebut bukan sahaja mencabar dari sudut fizikal, tetapi juga memberi kesan terhadap kesihatan mentalnya.
“Hari ini, hari ke-60. Tepat dua bulan untuk pengorbanan ini. 20kg berjaya diturunkan. Daripada 101kg ke 81kg.
“Dua kali pitam dan sekali hidung berdarah. Alami sakit migrain dan pening kepala. Rendah karbohidrat, gula dan macam-macam lagi.
“Namun, tetap berlatih dua hingga tiga jam setiap hari,” tulisnya menerusi satu hantaran di Instagram.
Zul turut berkongsi perubahan fizikalnya yang kini lebih berotot, sekaligus menzahirkan hasil dari usaha kerasnya untuk tampil dalam filem terbaharunya itu.
Bagi Zul, ini sebagai salah satu pengorbanan paling besar yang pernah dilakukannya dalam kerjaya seni.
“Perjalanan ini bukan mudah. Sejujurnya ini adalah cabaran terbesar yang pernah saya lalui setakat ini.
“Kali terakhir saya mencuba adalah pada sembilan tahun yang lepas dan hanya berjaya menurunkan 12kg.
“Kalau saya kata nak buat, memang saya akan buat. Sejujurnya saya tak berapa yakin tapi ada kalanya kita kena langgar sahaja. Saya dah bersedia nak jalani penggambaran,” kongsinya lagi.
Malah, perkongsiannya itu turut mendapat perhatian peminat dan rakan selebriti yang membanjiri ruangan komen dengan kata-kata semangat dan pujian atas komitmen serta dedikasinya terhadap kerjaya lakonan.
“Transformasi yang sangat luar biasa. Sangat terinspirasi dengan perkongsian seperti ini. Respek.”
“Pelakon lelaki nombor satu Malaysia.”
“Dedikasi yang ditunjukkan meletakkan Zul sentiasa berada di atas. Kami sebagai peminat amat bangga.”
“Biasanya ahli bina badan sahaja yang boleh tahan diet seperti ini. Hebat Zul.”
“Boleh jadi hero Akasia lagi,” antara komen warganet.
Sebelum ini, Zul juga pernah menurunkan 13kg dan membina ‘six pack’ dalam masa tiga minggu untuk menjayakan filem Tombiruo, membuktikan betapa komitmennya terhadap watak yang dibawakan tidak pernah setengah hati.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini
Sumber & Kredir Foto: Instagram Zul Ariffin