Categories: Hiburan

Tim Burton, Monica Bellucci Umum Berpisah Selepas Dua Tahun Bersama

Share

Hubungan cinta di antara pengarah ternama Hollywood, Tim Burton dan aktres Itali, Monica Bellucci akhirnya menemui noktah apabila kedua-duanya mengumumkan keputusan untuk berpisah selepas lebih dua tahun bersama.

Menurut laporan media antarabangsa, keputusan itu dibuat dengan penuh hormat serta mengambil kira perasaan masing-masing.

Pasangan itu dalam kenyataan bersama menegaskan bahawa mereka akan terus mengekalkan hubungan baik sebagai sahabat walaupun tidak lagi bersama sebagai pasangan kekasih.

Hubungan Tim, 67, dan Monica, 61, mula menjadi perhatian pada 2023 selepas kemesraan mereka dirakam ketika menghadiri Festival Filem Lumière di Perancis. Ketika itu, Bellucci juga mengakui bahawa hubungan mereka bukan lagi rahsia kepada umum.

Kredit foto: Instagram Monica Belluci

Menariknya, pelakon kelahiran Itali itu turut diberi peranan oleh Burton dalam filem Beetlejuice Beetlejuice

, sekuel kepada karya klasik Beetlejuice yang diterbitkan pada 1988.

Kolaborasi itu menguatkan lagi spekulasi bahawa hubungan cinta mereka ketika itu berada dalam fasa cukup serius.

Imbas kembali, Monica pernah mendirikan rumah tangga dengan aktor Perancis, Vincent Cassel selama hampir 14 tahun sebelum bercerai pada 2013. Mereka dikurniakan dua orang anak hasil perkahwinan tersebut.

Manakala Tim pula sebelum ini cukup dikenali dengan hubungan jangka panjangnya bersama aktres Helena Bonham Carter. Hubungan mereka yang berlangsung lebih sedekad dikurniakan dua cahaya mata, namun turut berakhir dengan perpisahan pada 2014.

++Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan 

Published by
MFA