
SAH Entertainment mengumumkan tiket untuk konsert Insomniacks: Echoes Of A Dream yang bakal berlangsung pada 12 Julai 2025 depan telah habis dijual dalam tempoh kurang daripada empat jam selepas dibuka.
Perkembangan ini membuktikan sokongan luar biasa yang diterima oleh band popular tersebut daripada peminat mereka di seluruh negara.
Konsert yang dijadualkan berlangsung di Zepp Kuala Lumpur itu pastinya menjadi antara acara muzik yang paling dinanti-nantikan pada tahun ini.
Dengan kapasiti yang terhad dan peminat yang sentiasa setia, kejayaan penjualan tiket dalam masa singkat ini merupakan pencapaian besar buat penganjur dan artis terlibat.
Menurut Pengarah Urusan SAH Entertainment, Sufi Rashid menzahirkan rasa terharu serta penghargaan kepada semua penyokong Insomniacks yang sentiasa memberikan sokongan padu terhadap perjalanan seni kumpulan itu.
“SAH Entertainment ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua peminat Insomniacks kerana telah membuatkan tiket konsert Insomniacks: Echoes Of A Dream habis dijual dalam durasi kurang daripada 4 jam!” katanya.
Dengan kejayaan ini, pihaknya turut memberi jaminan, akan memberikan produksi terbaik bagi memastikan konsert tersebut menjadi pengalaman tidak terlupakan buat semua yang hadir.
Terdahulu, Insomniacks yang dianggotai seramai tiga orang ahli iaitu Syed Mir Iqbal atau Iqie selaku penyanyi utama, Wan Arif Iskandar (pemain bes), dan Danial Lee Hashim (pemain gitar) teruja apabila bakal membuat persembahan menerusi konsert solo pertama mereka di pentas besar.
Malah bagi Sufi lagi, konsert ini bakal menjadi satu sejarah besar buat Insomniacks.
“Ini akan menjadi satu detik bersejarah buat Insomniacks sendiri kerana ia adalah konsert solo pertama mereka.
“Untuk jualan tiket, kami sepakat menawarkan harga mampu milik supaya peminat Insomniacks dapat bersama-sama mencipta detik bersejarah tersebut dan ia paling murah pernah dijual di Zepp KL selepas sekian lama,” katanya lagi.
Insomniacks mula ditubuhkan pada tahun 2015 dan permulaan band ini bermula dengan sering memuat naik video ‘cover’ lagu-lagu popular di YouTube
mereka.Terus mencipta kejayaan tersendiri, kumpulan ini juga pernah menerima pengiktirafan meluas menerusi empat buah lagu yang berjaya menembusi Top 10 RIM (Recording Industry Malaysia) Domestic Chart iaitu melalui lagu Pulang, Sempurna, Reminisensi dan Igauan Malam.
Insomniacks juga merupakan artis Malaysia kelima paling banyak distrim di aplikasi Spotify pada 2024.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini