
Penerbit dan pengarah, Erma Fatima, menafikan dakwaan drama terbaharu arahannya yang berjudul Jangan Panggil Aku Gus, diinspirasikan daripada kisah pendakwah selebriti, Da’i Syed.
Erma, atau nama sebenarnya Fatimah Rahmad Ali, 58, menjelaskan drama tersebut tidak terkait dengan mana-mana individu tertentu seperti yang didakwa segelintir netizen, lebih-lebih lagi isu peribadi yang belum terbukti kebenarannya.
“Mana ada. Tiada kena-mengena dengan dia (Da’i Syed) pun. Apa yang berlaku kepada dia, saya sendiri tak tahu kebenarannya.
“Jadi, saya tak reti nak buat benda-benda yang saya tak tahu. Saya pun tak nak menyentuh isu orang yang kita tak tahu kebenaran yang sebenar-benarnya.
“Itulah maksud saya. Saya tidak menidakkan ataupun mengiyakan,” katanya.
Mengulas lanjut, Erma menjelaskan idea itu lahir menerusi pemerhatian terhadap realiti kehidupan dan isu masyarakat, bukannya diinspirasikan daripada mana-mana individu tertentu.
Erma pada masa sama teruja apabila sukses melakukan projek istimewa ini bersama barisan pelakon terkenal dari dua negara.
“Alhamdulillah, drama ini gabungan pelakon Malaysia dan Indonesia. Saya berharap selepas ini akan lebih banyak lagi drama atau filem yang menggabungkan artis Malaysia-Indonesia.
“Macam satu ketika dahulu filem Gadis Hitam Putih. Lama tak buat usahasama seperti ini,” katanya lagi.
Berkongsi tentang keterbukaannya kembali ke kerusi pengarah selepas hampir 10 tahun, Erma menjelaskan ia berlaku secara kebetulan apabila dua pengarah tidak dapat meneruskan projek berkenaan atas kekangan tertentu.
“Masa saya minta Pali Yahya arahkan projek ini, dia tak habis shooting projek lain lagi. Manakala p
engarah kedua, Raja Mukhriz waktu saya minta arahkan, ibunya sedang berada di hospital. Itulah dua orang calon saya.“Bila dua-dua tak boleh, saya terpaksa turun dan lagipun, saya nak mengarah filem tak lama lagi. Jadi, ini macam pemanas badan buat saya juga,” katanya.
Jangan Panggil Aku Gus menampilkan gabungan pelakon Malaysia dan Indonesia seperti Bara Valentino, Lukman Sardi, Elina Joerg, Bima Samudera, Anna Jobling, Puteri Sarah, Umie Aida dan Vanida Imran.
Karya ini bakal disiarkan secara rasmi menerusi aplikasi Karya Reels bermula 5 Mac depan.
Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.