Hiburan

Meryl Streep, Anne Hathaway & Emily Blunt Bersatu Kembali Dalam Sekuel The Devil Wears Prada

Share

Selepas hampir dua dekad ditayangkan, filem ikonik The Devil Wears Prada bakal kembali menghiasi layar perak menerusi sekuelnya yang kini sedang menjalani penggambaran di New York.

Filem ini menampilkan semula tiga teraju utamanya iaitu Meryl Streep, Anne Hathaway dan Emily Blunt yang bakal menghidupkan kembali dunia fesyen penuh pertandingan dan ketegangan di majalah Runway.

Dalam sekuel ini, Miranda Priestly lakonan Meryl Streep kini berdepan cabaran besar mengekalkan pengaruh Runway dalam landskap media yang sudah didominasi dunia digital.

Sementara itu, Emily Charlton lakonan Emily Blunt yang merupakan bekas pembantu Miranda yang kini telah menjadi eksekutif kanan dalam sebuah rumah fesyen mewah, muncul sebagai pesaing utama.

Manakala watak Andy Sachs lakonan Anne Hathaway pula yang dahulunya digambarkan sebagai gadis naif yang baru mengenali dunia fesyen, kini kembali sebagai seorang wanita berkerjaya yang matang dan yakin.

Penampilannya juga dilihat jauh lebih sofistikated, menandakan perubahan besar dalam kehidupannya sejak meninggalkan Runway. Gambar-gambar penggambaran yang tersebar memperlihatkan Hathaway tampil bergaya dan berkarisma di jalanan New York.

Selain tiga pelakon asal yang memegang watak utama. Antara watak sampingan yang dijangka kembali adalah watak Nigel Kipling lakonan Stanley Tucci dan Lily lakonan TracieThoms.

Sekuel ini juga memperkenalkan barisan pelakon baharu yang dijangka memberi nafas segar kepada francais ini.

Antaranya termasuk Patrick Brammall yang dikatakan akan membawa watak sebagai kekasih baharu Andy, menggantikan watak Nate. Turut menyertai produksi ialah Rachel Bloom, Simone Ashley, Lucy Liu, Justin Theroux dan Kenneth Branagh.

Diarahkan semula oleh David Frankel dengan skrip asal oleh Aline Brosh McKenna, filem ini dijangka mengetengahkan tema yang lebih relevan dengan situasi industri semasa, termasuk kebangkitan platform digital, tekanan sosial media dan perubahan dalam nilai estetika fesyen.

Dengan gabungan nostalgia dan perspektif baharu, The Devil Wears Prada 2 dijangka mencetuskan fenomena baharu apabila ia ditayangkan pada 1 Mei 2026.

++ Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan

Published by
MFA