Berita

“Terlalu Muda Untuk Saya,” – Lebih 30 Tahun Solo, Zaiton Sameon Tepis Dakwaan Ada ‘Bau-Bau Cinta’ Dengan Doktor

Share

Selepas lebih tiga dekad hidup bersendiri, penyanyi legenda, Zaiton Sameon, 69, meluahkan perasaan yang jarang dikongsi secara terbuka.

Walaupun pernah melalui dua perkahwinan yang tidak kekal, dia bagaimanapun tidak pernah menutup pintu hati terhadap perkahwinan.

Namun, timbul khabar angin yang mengaitkan dirinya dengan seorang doktor dari Kelantan, yang kini tampil untuk menjelaskan situasi sebenar.

Dakwaan tersebut tercetus selepas kunjungan Dr Afif bersama penyampai radio THR Gegar, Fizie Roslan, ke rumah Zaiton untuk menyampaikan suplemen kesihatan, baru-baru ini.

Kahwin Bukan Lagi Matlamat Utama

Dr Afif, 44, ialah seorang doktor perubatan dan Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Rawatan Al Farhain, yang memiliki 16 cawangan klinik di Pantai Timur.

“Fizie tahu saya ada masalah dalaman perut. Jadi dia mencadangkan agar saya makan suplemen yang sedang diusahakannya iaitu EnerVast. Ia bagus untuk kesihatan usus.

“Baru-baru ini, Fizie datang bersama Dr Afif yang membuat kajian dan menghasilkan suplemen ini. Dari situ Dr Afif banyak memberikan nasihat dan tip untuk kesihatan saya.

“Tak dinafikan, kami ada berhubung selepas itu melalui panggilan telefon dan WhatsApp. Semua tentang kesihatan,” katanya yang turut memuji sikap baik dan profesionalisme Dr Afif.

“Dr Afif terlalu muda untuk saya. Lagi pun dia suami orang. Tak baiklah kalau ada yang anggap kami ada hubungan istimewa. Apatah lagi, soal kahwin.

“Memang soal jodoh adalah ketentuan Allah. Saya hanya berserah. Namun dalam masa yang sama, saya faham dan hormat perasaan wanita lain.

“Iya, memang tak salah pun kalau saya nak kahwin lagi. Cuma, rasanya sekarang bukan itu jadi matlamat hidup saya. Tak fikir pun pasal tersebut.

“Saya hanya fikir untuk terus bekerja memenuhi undangan nyanyian dan meneruskan usaha dalam bisnes,” katanya lagi.

Selain masih aktif dalam seni, Zaiton turut giat mengusahakan beberapa produk sendiri seperti Rendang Nasib, Sambal Bilis Hijau Petai, dan minyak wangi berjenama Millionaire serta Gabriel.

Dr Afif Anggap Kak Eton Seperti Ibu

Sementara itu bagi Dr Afif, dia menjelaskan hubungan mereka tidak lebih daripada seorang doktor dan pesakit.

“Saya bersyukur, suplemen yang saya berikan kepadanya dapat membantu Kak Eton (panggilan buat Kak Eton) yang mempunyai masalah ‘pembuangan’. Saya ikhlas bantu, tiada niat lain.

“Saya doakan beliau terus sihat sekaligus dapat mencari rezeki dengan lebih giat lagi. Saya harap, sama-samalah sokong bisnes Kak Eton.

“Apabila ada yang mengaitkan saya dengan Kak Eton, saya senyum sahaja. Saya anggap ia hanya usikan daripada para peminat Kak Eton.

“Iyalah, sudah lama peminat Kak Eton mengharapkan beliau berkahwin setelah lama hidup sebagai ibu tunggal. Bagi saya soal jodoh itu, Allah yang tentukan. Doakanlah yang terbaik buatnya,” tambah Dr Afif.

Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini

 

Published by
MH