Categories: Berita Hiburan

“Terkejut Bila Anak Jerung Lalu Depan Mata,” – Anna Jobling Dedah Cabaran Bawa Watak Duyung, Tahan Nafas Lama Dalam Aquarium

Share

Pelakon Anna Jobling mendedahkan antara cabaran terbesar untuk melakonkan watak Aurora dalam filem Duyung: Lagenda Aurora adalah apabila perlu berenang di dalam akuarium yang sangat besar bersama pelbagai hidupan laut.

Menurut Anna, keadaan air yang sangat keruh juga membuatkan dirinya terkejut, lebih-lebih lagi apabila berhadapan dengan anak-anak jerung.

“Airnya sangat keruh dan di dalamnya juga ada anak-anak jerung. Bila berenang, saya tak nampak apa-apa. Ada satu ketika, saya perlu menyelam ke dasar akuarium. Saya agak terkejut bila ada anak jerung lalu depan saya.

“Saya tak takut pun nak berenang bersama hidupan lain di dalam akuarium. Cuma saya jadi mudah terkejut,” katanya kepada MH.

Anna berkata demikian ketika ditemui di majlis tayangan perdana filem Duyung: Lagenda Aurora, baru-baru ini.

Babak Menyelam Tanpa CGI, Uji Ketahanan

Tambah Anna lagi, antara momen lain yang paling tidak boleh dilupakannya adalah ketika menjalani penggambaran di salah sebuah pulau di Semporna, Sabah bagi menjayakan babak berenang bersama penyu.

“Malah, saya juga dapat berenang dengan penyu ketika di Semporna. Itu adalah shot yang betul. Ia bukan CGI. Saya perlu menahan nafas agak lama.

“Ketika penggambaran babak tersebut, saya tak pakai tangki oksigen biasa. Saya hanya gunakan tangki oksigen tambahan yang kecil.

“Kita menyelam agak dalam juga. Bila kita nampak sahaja penyu, saya kena tanggalkan goggle dan tangki oksigen. Saya perlu menahan nafas dan berenang sambil diikuti oleh jurukamera,” kongsinya lagi.

Dalam masa sama, Anna bersyukur apabila tidak berdepan sebarang kecederaan atau insiden mencemaskan walaupun banyak adegan di dalam air perlu dijayakan.

“Saya perlu berendam dan adegan di dalam air sangat panjang. Namun, pihak produksi memang sudah menyediakan pasukan penyelam penyelamat dan pelampung.

“Kalau saya rasa penat atau letih, mereka memang sudah bersedia. Syukur alhamdulillah, sepanjang penggambaran, saya tiada mengalami sebarang kecederaan atau insiden mencemaskan,” katanya lagi.

Ditanya mengenai harapannya terhadap filem sekuel ini, Anna mengakui dia tidak meletakkan sebarang jangkaan tinggi dan menyerahkan segalanya kepada rezeki serta sokongan penonton.

“Saya tidak pernah meletakkan sebarang harapan untuk karya-karya yang saya lakonkan. Bila kita letak harapan yang tinggi dan kita tak dapat apa yang kita nak, kita akan rasa kecewa.

“Pada saya, jika ada rezeki, memang ramai yang akan menonton karya-karya kita. Kalau tiada rezeki, pun tak mengapa.

“Kami sebagai pelakon dan pihak produksi sudah membuat yang terbaik untuk menyiapkan filem ini. Kami sangat seronok. Itu lebih penting,” akhirinya.

Duyung: Lagenda Aurora bakal ditayangkan di pawagam bermula 25 Disember ini. Selain Anna, filem ini turut dibintangi barisan pelakon seperti Ayie Floor 88, Saiful Apek, Maya Karin, Syaiful Zero dan ramai lagi.

Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara.
Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.

Published by
Aizam Manaf