Categories: Hiburan

‘Terkam’ Ariana Grande Di Singapura, Lelaki Australia Dijatuhi Hukuman Penjara

Share

Seorang lelaki warga Australia dijatuhi hukuman penjara sembilan hari oleh Mahkamah Daerah Singapura selepas mengaku bersalah menceroboh kawasan penghadang keselamatan dan berlari ke arah penyanyi dan pelakon terkenal, Ariana Grande, ketika tayangan perdana filem Wicked: For Good di Resorts World Sentosa, minggu lalu.

Tertuduh, Johnson Wen, 26, bertindak melompat pagar penghadang sebelum menghampiri selebriti antarabangsa itu dan dilihat meletakkan tangannya di sekeliling figura popular berkenaan sambil melompat-lompat.

Tindakan itu bukan sahaja mengejutkan pihak keselamatan, malah mencemaskan tetamu serta petugas media yang berada di lokasi. Ketika itu, dapat dilihat pelakon Wicked yang lain, Cynthia Erivo cuba menghalang Johnson daripada terus memegang Ariana.

Siasatan mendapati Johnson bertindak sedemikian secara sengaja bagi menarik perhatian, dan selepas diiring keluar, dia sekali lagi cuba memasuki kawasan acara sebelum ditahan sepenuhnya oleh pegawai keselamatan.

Walaupun insiden tersebut tidak menyebabkan kecederaan kepada Ariana atau mana-mana individu, mahkamah menegaskan perbuatan itu berpotensi menimbulkan panik dan risiko keselamatan di acara berprofil tinggi.

Ketika prosiding, hakim menyifatkan tindakan Johnson sebagai satu bentuk “attention-seeking” yang dirancang, selain memaklumkan bahawa tertuduh pernah menunjukkan corak tingkah laku serupa di acara hiburan besar di negara lain sebelum ini.

Mengikut undang-undang Singapura, kesalahan menyebabkan gangguan awam boleh membawa hukuman penjara sehingga tiga bulan atau denda sehingga S$2,000. Dalam kes ini, mahkamah menetapkan hukuman sembilan hari penjara sebagai langkah pencegahan agar tertuduh tidak mengulangi perbuatan sama pada masa hadapan.

Acara tayangan perdana Wicked: For Good itu menarik perhatian peminat dari seluruh rantau, dan insiden berkenaan sekali lagi menekankan kepentingan kawalan keselamatan yang ketat dalam acara melibatkan selebriti antarabangsa.

Ariana Grande bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan dan meneruskan sesi bergambar serta beramah mesra seperti dirancang.

++ Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi TikTok, Instagram, Facebook & Telegram Media Hiburan 

Published by
MFA