Categories: Berita Hiburan

Tanpa Nama Pelakon Glamor, ‘Panggil Aku Dahlia’ Raih Rating Nombor Satu! Jaja Ishak Terharu – “Sejujurnya Saya Tak Sangka…”

Share

Penerbit, Jaja Ishak meluahkan rasa syukur apabila drama bersiri terbitannya, Panggil Aku Dahlia yang kini bersiaran di TV1 setiap Jumaat hingga Ahad pada jam 6.45 petang mendapat sambutan yang memberangsangkan daripada penonton.

Lebih membanggakan, drama lakonan Razzuan Rosli dan Riena Amirah itu berjaya mencatatkan rating nombor satu di platform RTMKlik.

“Alhamdulillah, sejujurnya saya tak sangka naskhah terbitan saya diterima baik penonton memandangkan ada juga naskhah lain yang tidak kurang hebat.

“Apa pun saya terharu atas respons yang diterima dan sokongan ini memberi satu semangat kepada kami di Jaja Ishak Channel untuk memberikan karya yang berkualiti sepanjang tahun ini.

“Tanpa nama-nama besar yang glamor, alhamdulillah Panggil Aku Dahlia turut mendapat tempat di hati pencinta drama Melayu.

“Mungkin kerana jalan ceritanya yang realistik dan menarik membuatkan ia menerima rating yang baik. Malah beberapa lokasi menarik di Pahang juga turut kami sajikan sebagai kelainan,” katanya.

Berani Ketengahkan Muka Baharu

Ditanya mengenai risiko serta keberaniannya memberi peluang kepada muka baharu dan pelakon yang mungkin kurang dikenali, Jaja mempunyai pendiriannya yang tersendiri.

“Saya cuba untuk membuat kelainan menerusi setiap drama yang diterbitkan. Saya tak suka berada di zon selesa sebab ia tidak memberi cabaran.

“Cuma saya berpendapat, menerusi drama ini mereka (pelakon utama) berjaya mengangkat nama sendiri dengan syarat memberikan lakonan yang berkualiti bersama jalan cerita drama yang menarik.

“Di samping penampilan dan gandingan bersama para pelakon lama. Walaupun watak utama ialah pelakon baharu, tetapi sokongan utama masih didukung oleh pelakon lama atau senior yang turut memberi impak kepada perjalanan sesebuah naskhah,” katanya lagi.

Terus Buka & Beri Peluang

Aktif menerbitkan pelbagai drama bersiri, tele-filem dan travelog, Jaja turut menyatakan keterbukaannya untuk terus memberi ruang kepada pelakon yang kurang dikenali bagi mengisi barisan karya terbitannya selepas ini.

“Saya menghormati dan percaya setiap penerbit atau pengarah ada cara mereka yang tersendiri. Macam saya ambil pilihan untuk cuba cungkil bakat pelakon baharu atau kurang glamor, mengapa tidak?

“Setiap pelakon berhak untuk dikenali dan berjaya. Apa kata kita cuba buat eksperimen dengan memberi peluang kepada mereka untuk pegang watak utama.

“Sekurang-kurangnya, katakanlah ketika kita memberikan peluang itu mereka berjaya buktikan sesuatu, secara automatik mereka juga mampu untuk melonjakkan nama sendiri dalam industri,” akhirinya.

Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.

Published by
MH