Categories: Hiburan

Tam Suhaimi Bukan Pengarah Kejar Sensasi, Masih Tahu Batas Meski Di Platform OTT

Share

Meskipun platform OTT memberi lebih banyak kebebasan kepada pembikin drama dan filem untuk berkarya, pelakon dan pengarah Tam Suhaimi tetap berpegang pada pendirian memperjuangkan jalan cerita, bukan pada elemen sensasi semata-mata.

Bagi Tam, jika terlalu mengutamakan elemen viral atau kontroversi, ia seolah-olah tidak percaya dengan naskhah mereka sendiri.

“Saya sentiasa mengingatkan kepada diri sendiri, walaupun OTT platform syaratnya lebih longgar berbanding stesen tv tempatan, sebagai pengkarya, kita tidak boleh sewenang-sewangnya untuk melakukan perkara yang tidak sepatutnya seperti bercium atau aksi ranjang.

“Sebagai pengarah, kita mesti tahu adakah kita buat sesuatu perkara itu hanya untuk mensensasikan karya kita sendiri?

“Bagi saya secara peribadi, jika saya perlu sensasikan setiap produk yang saya buat, maksudnya saya tidak percaya dengan kekuatan karya saya sendiri. Kena ada elemen sensasi atau viral barulah kita ingat orang akan tonton,” katanya.

Tam berkata demikian ketika ditemui di acara Viu Royal Night, baru-baru ini.

Tambah Tam, dia lebih selesa dikenali kerana kualiti naskhah yang dihasilkan berbanding kontroversi.

“Sebagai pengkarya kita kena percaya dengan karya kita sendiri. Kita kena tahu apa yang ingin kita tonjolkan seperti jalan cerita, pengajaran dan tidak bersandarkan kontroversi semata-mata.

“Orang kenal saya dari zaman pelakon sehinggalah menjadi pengarah. Rasanya saya tidak pernah ada kontroversi.

“Saya lebih suka orang kenal saya melalui kerja-kerja saya dan bukannya kisah peribadi.

“Jangan viral kepada perkara yang salah. Kalau viral pun biarlah kerana kekuatan karya itu sendiri,” ujarnya.

Puteri Kelas Atasan Tampil Berbeza

Selepas sekian lama berehat, Tam kini kembali ke kerusi pengarah menerusi drama terbaharu terbitan Viu, berjudul Puteri Kelas Atasan.

Menurut Tam, karya tersebut bukan sekadar mengisahkan kehidupan zaman remaja semata-mata, sebaliknya turut diselitkan elemen cemas, jenayah dan aksi.

“Saya tertarik untuk mengarahkan drama Puteri Kelas Atasan ini kerana ia bukan sekadar sebuah karya romantik komedi yang ringan. Siri ini turut selitkan elemen suspense dan jenayah.

“Itu yang membuatkan saya setuju untuk mengarahkan drama ini. Seperti semua tahu, orang mengenali saya kerana drama-drama romantik komedi tapi saya juga nak buat sesuatu yang berbeza,” akhirinya.

Puteri Kelas Atasan menampilkan barisan pelakon seperti Emma Sofea, Azri Safix, Jay Iskandar, Razin Qidran dan ramai lagi.

Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara.
Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini

Published by
Aizam Manaf