Categories: Hiburan

Takut Keluar ‘Suara Angsa’, Amad Dayyan Tetap Mahu Cabar Diri… Sertai Talk To My Manager

Share

Penyanyi Siti Saerah optimis untuk memberikan sepenuh perhatian dalam membimbing anaknya, Amad Dayyan, yang kini menyertai program realiti Talk To My Manager.

Program ini merupakan platform realiti pertama yang disertai oleh Amad, dan dikatakan sebagai cabaran terbesar buatnya setakat ini.

“Ketika pihak Astro menghubungi untuk maklumkan mengenai tawaran ini, saya ingatkan mereka mahukan Umai tapi sebenarnya mereka nakkan Amad.

“Pada mulanya, Amad agak risau dan ragu-ragu juga. Dia bertanya macam mana format program ini? Ini kali pertama Amad menyertai program realiti yang sebesar ini.

“Jadi, ini adalah cabaran terbesar Amad untuk bertanding di program sebesar ini,” katanya kepada MH ketika ditemui dalam sidang media program tersebut pada Rabu.

Sementara itu, Amad sendiri mengakui berasa gusar tentang penerimaan penonton jika berlaku sebarang kesilapan semasa membuat persembahan.

“Saya risau jika terkeluar suara angsa ketika saya menyanyi. Sebab itu saya agak takut nak masuk program realiti.

“Kalau menyanyi di acara-acara luar, saya sentiasa okay sahaja seratus-peratus.

“Saya risau jika mereka cabar saya untuk bawakan lagu-lagu tinggi daripada Datuk Seri Siti Nurhaliza, Datuk Awie, Datuk Amy Search atau Mus May.

“Saya juga risau sekiranya nyanyian saya dikecam,” ujar Amad.

Populariti Mendadak & Tekanan Awal

Dalam pada itu, Saerah turut akui anak lelakinya itu masih dalam fasa menyesuaikan diri dengan perubahan drastik dalam hidup, memandangkan namanya mula dikenali ramai dalam tempoh yang singkat.

“Amad tidak pernah terdedah dengan program tv atau pihak media. Malah, namanya mula viral pun dalam keadaan yang sangat laju dan drastik.

“Pada mulanya, dia sendiri rasa seperti kejutan budaya selepas apa yang berlaku. Orang sudah mula berikan tumpuan terhadap dirinya.

“Sebagai ibu, saya sentiasa berikan semangat positif buat Amad.

“Kejadian suara angsa itu memang pernah berlaku ketika membuat persembahan di Singapura. Namun, saya bagitahu dia, ini adalah proses pembelajaran.

“Kalau insiden seperti ini tidak berlaku, kita tak sedar apa kekurangan kita. Nanti kita ingat nyanyian kita sudah terlalu sempurna pula.

“Sejak itu, Amad sudah banyak belajar dan bersedia untuk bertanding,” kongsinya lagi.

Malah, Saerah turut menekankan kepentingan untuk tidak meletakkan tekanan berlebihan terhadap anaknya, walaupun ramai yang mengharapkan pencapaian tinggi daripada Amad.

“Semua peserta yang bertanding, mereka mahu sampai ke peringkat akhir. Namun, saya sentiasa berikan semangat positif kerana saya tidak mahu berikan dia tekanan.

“Paling penting sekali, dalam setiap persembahan, kita harus berikan yang terbaik. Kita buktikan kepada orang di luar sana yang Amad mempunyai bakat dan vokal yang tersendiri,” akhiri Saerah.

Talk To My Manager bakal disiarkan setiap Ahad bermula 24 Ogos ini, jam 9 malam di saluran Astro Ria. Ia turut boleh distrim melalui Astro Go dan sooka.
Datuk Aznil Hj. Nawawi akan menggalas tugas sebagai pengacara, manakala Datuk AC Mizal dan Che Puan Sarimah Ibrahim pula dilantik sebagai juri tetap.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini

Published by
Aizam Manaf