
Penyanyi Indonesia, Shae kekal optimis dan positif meskipun namanya diumumkan tersingkir di Konsert Separuh Akhir Gegar Vaganza musim ke-12 (GV12), malam tadi.
Malah Shae atau nama sebenarnya, Sheryl Gething turut meluahkan rasa lega dan gembira kerana akhirnya dia dapat kembali ke pengkuan keluarga setelah hampir tiga bulan memberikan sepenuh tumpuan terhadap GV12.
“Saya sebenarnya gembira dan bersyukur apabila tersingkir. Saya langsung tidak berasa sedih. Saya bersyukur dengan perjalanan sampai ke minggu ke-11 ini.
“Kini, saya sudah boleh pulang ke rumah dan pangkuan suami. Selama tiga bulan ini, saya seperti tidak balik ke rumah langsung. Kemudian, saya ingin bercuti ke Bali selama seminggu,” katanya.
Dalam masa sama, Shae turut mengakui kesilapan lirik ketika membawakan lagu Rosalinda memberikan impak yang besar terhadap pemarkahannya.
“Saya memang tak sedih langsung kerana saya tahu cabaran di konsert akhir sangat susah. Kena hafal tiga buah lagu dalam masa tiga hari. Minggu ini, saya baru kena hafal dua buah lagu, saya sudah kalah.
“Ketika menyanyikan lagu Rosalinda, saya tersilap lirik. Sebab itulah saya tersingkir pada minggu ini,” ujarnya lagi.
Sementara itu, penyanyi yang popular menerusi lagu Sayang itu turut menyambut baik pujian daripada juri tetap GV12, Datuk Ramli MS yang menyifatkan dirinya sebagai antara peserta yang paling banyak menunjukkan peningkatan.
“Setiap minggu saya akan berusaha mununjukkan peningkatan. Ketika di awal pertandingan, Datuk Ramli MS selalu menegur nyanyian saya ketika rehearsal.
“Katanya, saya susah untuk bersaing dengan peserta-peserta lain. Namun, saya hanya ketawa dan tidak patah semangat. Saya anggap kata-kata itu sebagai cabaran.
“Saya selalu kata pada Tok Rom, tak mengapa, minggu hadapan saya cuba lagi. Minggu demi minggu saya terus mencuba. Akhirnya Tok Ram nampak kesungguhan saya itu. Dia yang selalu ada dengan kami.
“Dia nampak semangat saya untuk melawan. Namun, perjalanan saya sampai minggu ke-11 sahaja,” ujarnya lagi.
Malah, Shae turut menyifatkan GV12 ini nyata memberikan semangat baharu buat dirinya untuk kembali aktif dalam dunia seni.
“Selepas menyertai GV12, saya dapat rasakan semangat baharu dalam dunia muzik. Dahulu, saya rasa sudah penat dan tak senang dengan industri muzik.
“Selepas berjumpa dengan guru seperti Adeep Nahar dan Tok Ram termasuklah rakan-rakan peserta yang lain, saya temui semangat baharu. Mungkin ini perancangan tuhan.
“Dahulu, saya dapat ceburi bidang muzik kerana Astro. Kehidupan yang saya lalui saat ini pun disebabkan Astro. Jadi, bila Astro tawarkan peluang buat kali kedua, saya ikut sahaja jalan yang telah direncanakan ini.
“Sepanjang berada di GV12, saya bukan sekadar bertanding, secara individu, saya merasakan diri saya lebih dekat dengan Allah SWT. Ini hadiah terbesar GV12 buat saya,” akhirinya.
Terdahulu, Shae terpaksa akur apabila tersingkir di sekeloh akhir GV12 selepas meraih markah tercorot, 65 peratus.
Markah yang diperoleh Shae hanya dibezakan dengan 0.5 peratus daripada markah Ruri Repvblik yang berada di kedudukan keenam.
Penyanyi Singapura, Iskandar Ismail terus mencipta sensasi selepas meraih markah tertinggi di konsert separuh akhir ini seterusnya membawa pulang wang tunai RM10,000.
GV12 bersiaran secara langsung di MBSA Shah Alam mulai 2 November 2025, setiap Ahad, jam 9 malam, dan dipancarkan secara langsung menerusi saluran Astro Ria (saluran 104).
Program ini juga boleh disaksikan melalui strim secara On Demand di Astro GO dan sooka.
Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.