
Timbul dakwaan yang mengatakan rumah tangga sedang bergolak, pelakon Yusuf Bahrin menjelaskan hubungannya bersama isteri yang juga penyanyi Zizi Kirana masih berada dalam keadaan baik.
Menurut Yusuf, dia dan Zizi lebih selesa menjalani kehidupan secara privasi tanpa perlu berkongsi kebahagiaan mereka di media sosial.
“Tiada apa yang ingin saya terangkan dengan lebih panjang. Kami okay (hubungan) sahaja. Segalanya masih dalam keadaan yang baik, alhamdulillah.
“Saya pun tak faham bagaimana spekulasi seperti ini boleh timbul. Mungkin mereka tak nampak kami kongsi foto-foto bersama di media sosial.
“Namun, takkan kita nak kena ikut apa yang orang lain mahukan untuk kepuasan mereka? Kita ada cara kita sendiri. Saya okay dan dia (Zizi) pun okay. Jadi, tiada apa-apa masalah,” ujarnya.
Pelakon filem The Lord Musang King itu berkata demikian ketika ditemui di majlis berbuka puasa anjuran LOL Entertainment di Hotel Royal Chulan Damansara pada Rabu.
Ditanya sama ada wujud faktor lain yang membuatkan mereka jarang berkongsi momen bersama di media sosial, Yusuf memaklumkan dia dan Zizi kini lebih selesa memberi tumpuan kepada kerjaya masing-masing.
“Tiada sebab-sebab lain. Kami memang sengaja tak berkongsi apa-apa di media sosial. Masing-masing fokus pada kerja. Kami lebih selesa dengan kehidupan sebegini,” katanya lagi.
Menurutnya, orang luar bebas membuat spekulasi kerana hanya mereka berdua sahaja yang mengetahui keadaan sebenar hubungan mereka.
“Saya anggap perkara ini biasa sahaja. Saya sudah lali. Lagipun, hubungan kami sudah lama. Jika diawal perkahwinan dahulu kita perlu berhadapan situasi seperti ini, mungkin kita pun akan terkejut juga.
“Kita pun tak tahu nak jawab macam mana. Kini, kami okay sahaja dan tiada apa yang perlu diulas lebih panjang. Biarlah orang membuat spekulasi. Ia bukan satu masalah buat saya,” ujarnya lagi.
Meskipun kerap diajukan soalan mengenai rumah tangga, Yusuf tetap menghargai dan bersyukur kerana dikurniakan peminat yang sentiasa mengambil berat tentang kehidupannya bersama isteri.
“Kini, saya sentiasa bersangka baik dengan semua orang. Saya rasa ramai yang ingin ambil berat dan mahukan yang terbaik untuk artis yang mereka minati.
“Jadi, mereka memang ambil tahu tentang perkembangan kita. Pada saya, itu satu tindakan yang bagus. Malah, kami juga memerlukan doa-doa yang baik daripada kalian.
“Saya tidak akan menghalang orang lain membuat spekulasi. Itu memang hak mereka. Namun, yang lebih penting adalah doa yang baik buat semua orang.
“Kita semua tidak akan tahu apa yang akan jadi pada lima minit yang akan datang. Tiada siapa pun yang boleh jamin. Apa yang kita boleh buat hanyalah berdoa,” akhirinya.
Sebelum ini, rumah tangga Yusuf dan Zizi atau Nur Fazelah @ Zizie Mad Tahil menjadi perhatian apabila mereka didakwa sudah tidak lagi mengikuti laman sosial masing-masing.
Pun begitu, Zizi sebelum ini turut menjelaskan hubungan rumah tangga adalah sesuatu yang bersifat peribadi dan tidak perlu dijadikan tatapan umum.
Untuk rekod, Yusuf dan Zizi mendirikan rumah tangga pada 19 September 2021.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini