
Penyanyi dan pelakon, Amira Othman menyifatkan single terbaharunya berjudul Rasa & Takdir membawa maksud yang menyeluruh dan bukan hanya berkisar tentang kehidupan peribadinya semata-mata.
Menurut Amira, lagu ini ditulis oleh sepupunya sendiri, Syafiq Rashid, dan mungkin kerana itu ia dilihat dekat dengan kisah hidupnya.
“Komposer lagu ini adalah sepupu kami sendiri. Dia antara orang yang dekat dengan kami. Mungkin lirik itu ada sedikit sebanyak ada kena mengena dengan saya. Saya berbesar hati untuk menyanyikan lagu ini.
“Jika dilihat semula liriknya, ia sangat umum. Ada kalanya kita persoalkan tentang urusan hidup, masa dan keadaan. Kita pertikaikan segalanya.
“Apa yang disampaikan di dalam lagu ini adalah berkisarkan tentang takdir. Ada kalanya kita terlalu mempersoalkan apa yang berlaku. Sedangkan segalanya sudah tertulis.
“Tak kisahlah bagaimana interpretasi orang terhadap lagu ini. Pasa saya, tiada yang salah dalam kehidupan ini asalkan kita percaya qada’ dan qadar itu adalah yang terbaik,” katanya kepada MH.
Amira berkata demikian ketika ditemui di majlis sidang media lagu Rasa & Takdir di Imperial Lexis Hotel, Kuala Lumpur pada Isnin.
Amira dalam masa sama tidak kisah jika ada pihak yang mengaitkan lagu tersebut dengan kisah cintanya bersama pelakon Fattah Amin.
“Asalkan keluar lagu, ramai yang kaitkan saya dengan Fattah. Pada saya itu memang lumrah selagi tiada pengumuman rasmi. Lagu ini bukan sekadar kisah cinta.
“Jika ada yang kaitkan dengan Fattah, terpulang kepada individu tersebut. Kami memang nak sampaikan mengenai takdir dan rasa itu sendiri.
“Pada saya, lagu ini dekat dengan semua orang kerana kita hidup berdasarkan takdir,” ujarnya lagi.
Ditanya sama ada lagu ini sengaja dilancarkan beberapa minggu sebelum majlis perkahwinannya bersama Fattah, Amira menjelaskan segalanya sudah tersusun dengan baik oleh Allah SWT.
“Dalam urusan hidup ini, walau kita merancang sebaik mana pun, kalau tak diizinkan, tidak menjadi juga. Mungkin ini adalah masa yang terbaik.
“Lagu memang sudah ada lama tapi kita perlukan masa untuk berurusan dengan syarikat rakaman, perancangan muzik video dan persiapan konten-konten untuk projek ini.
“Pada saya, hidup kita adalah aturan. Ada kalanya kita terlalu merancang sampai jadi stres. Namun, tuhan kata inilah waktu yang terbaik,” akhirinya.
Rasa & Takdir juga adalah lagu duet Amira bersama adiknya, Irfan Haris.
Ia sudah dilancarkan di semua platform digital, manakala muzik video boleh ditonton di saluran YouTube Sony Music Malaysia.
Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara.
Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.