
Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza sanggup melawan rasa takut demi merealisasikan impiannya untuk naik ke platform yang tinggi dengan menggunakan kren semata-mata untuk melihat suasana sambutan luar biasa penonton ketika Konsert Legacy 30 Siti Nurhaliza: Passion, Sincere & Love malam tadi.
Menurut Siti, dia sebenarnya sudah lama merancang untuk melakukan gimik tersebut di konsert-konsertnya sebelum ini, namun keadaan venue menjadi kekangan.
“Impian saya ini sebenarnya sudah dirancang sejak konsert-konsert sebelum ini lagi tapi keadaan tak mengizinkan. Jadi, saya simpan impian itu sehinggalah ke Konsert Legacy 30 Siti Nurhaliza.
“Saya tak kira, nak juga naik kren untuk melihat peminat-peminat saya di stadium ini. Akhirnya, ia jadi kenyataan,” katanya.
Tambah Siti lagi, meskipun agak gayat, namun dia percaya seluruh pasukan produksi sudah pun memastikan aspek keselamatan demi merealisasikan gimik tersebut.
“Nak kata gayat, memang gayat. Saya tetap kena fikirkan faktor keselamatan. Alhamdulillah saya ada team yang sentiasa menjaga saya dengan baik.
“Terima kasih kepada anda semua yang telah menyokong saya pada hari ini,” ujarnya.
Terdahulu, Konsert Legacy 30 Siti Nurhaliza: Passion, Sincere & Love menyaksikan kehadiran lebih 65,000 penonton, sekali gus membuktikan keunggulan Siti sebagai penyanyi nombor satu tanah air.
Konsert yang berlangsung selama tiga jam itu seakan tidak terasa apabila Siti mempersembahkan deretan lagu-lagu popularnya seperti Jerat Percintaan, Purnama Merindu, Dialah Di Hati, Ya Maulai dan banyak lagi.
Konsert tersebut turut digamatkan lagi dengan persembahan duet bersama artis-artis jemputan seperti Umairah, Noh Salleh, Hafiz Suip dan Cakra Khan.
Malah, Siti juga berjaya menghidupkan suasana di SNBJ apabila mengajak kesemua penonton untuk berjoget lambak sewaktu mempersembahkan lagu Balqis, Kesuma, Cindai dan Ya Maulai menerusi segmen Irama Malaysia.
Paling mencuri tumpuan apabila Siti turut mengumumkan konsert berkonsepkan irama tradisional pula selepas ini.
Bagaimanapun, belum ada tarikh spesifik mengenai konsert tersebut dan maklumat lanjut bakal diumumkan kelak.
Di akhir konsert, Siti turut menerima kejutan bersempena sambutan hari lahirnya yang ke-47, hari ini.
Konsert yang meraikan tiga dekad Siti bergelar anak seni itu turut diserikan dengan kehadiran rakan-rakan artis seperti Ella, Hael Husaini, Dayang Nurfaizah, Wany Hasrita dan ramai lagi, selain mencatat sejarah sebagai konsert ke-35 sepanjang karier seninya.
Untuk hiburan terkini dalam dan luar negara.
Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.