Categories: Hiburan

“Tak Boleh Bayang Orang Lain Bawa Watak Ini,” – Meerqeen & Qasrina Dipuji, Netizen Belum ‘Move On’! Suka ‘Happy Ending’ Thariq Ridzuan: His Treasure

Share

Walaupun sudah melabuhkan tirai, drama fenomena terbitan Astro, Thariq Ridzuan: His Treasure, masih lagi diperkatakan di kalangan para pencinta drama tempatan.

Selepas melalui pelbagai konflik, tangisan dan pertumpahan darah, hasrat peminat untuk melihat Thariq (lakonan Meerqeen) dan Radwa (Qasrina Karim) bersama akhirnya menjadi kenyataan.

Malah dua episod terakhir nyata membuatkan penonton tidak senang duduk dan belum boleh ‘move on’, terutama ketika babak pertembungan terakhir antara Thariq dan watak antagonis, Fareez (Evertt Gomes).

Rata-rata netizen menerusi media sosial, meluahkan rasa puas dengan gandingan Meerqeen dan Qasrina yang berjaya menghidupkan watak ikonik tersebut dengan penuh jiwa.

Antara komen yang ditinggalkan netizen adalah;

“Drama yang sangat menguras tenaga dan perasaan. Ia juga merupakan sebuah karya yang sangat indah. Kita jumpa lagi di projek yang lain.”

“Kami tidak boleh bayangkan orang lain untuk bawakan watak ini sebaik Meerqeen dan Qasrina.”

“Terima kasih kerana membawakan watak Thariq dan Radwa dengan sangat baik. Walaupun, kadang-kadang korang bagi kami sakit kepala dan jantung, kami tetap setia untuk menonton kerana drama ini banyak mesej yang menjentik hati dan jiwa.”

Cabaran Lakonan Meerqeen & Qasrina

Mengulas kejayaan drama ini, Meerqeen mengakui segala usaha yang dicurahkan untuk menghayati watak Thariq akhirnya berbaloi apabila menerima pujian ramai.

“Sejujurnya, pada mulanya saya akui agak tertekan untuk membawakan watak Thariq ini. Saya sebenarnya tidak tahu drama ini diadaptasi daripada sebuah novel tempatan yang berjaya mencetuskan fenomena.

“Bila saya ke sesi bacaan skrip, barulah saya tahu mengenai idea asal drama ini. Jadi, saya ambil satu lagi langkah lain untuk baca novel ini dan lihat sendiri sambutan luar biasa peminat.

“Watak ini memang agak susah kerana tidak semua orang boleh terima kefahaman saya untuk bawa watak ini. Dalam novel tiada visual tapi bila dibawa ke drama, saya cuba bagi yang terbaik,” jelasnya.

Sementara bagi Qasrina, membawakan watak sebagai Radwa nyata menjadi cabaran besar buatnya sebagai pelakon baharu.

“Setiap watak yang saya terima sentiasa mencabar saya untuk menjadi pelakon yang lebih baik. Sama juga menerusi watak Radwa. Ia sangat beremosi dan berat buat saya.

“Sejujurnya saya ada bergelut untuk jayakan watak ini untuk beberapa minggu yang pertama. Saya datang ke set dengan perasaan yang tak gembira.

“Saya kena rasa perasaan Radwa ini. Sampai ke akhir watak ini sangat berat. Saya kena kekal konsisten. Meerqeen juga sangat membantu untuk meminjamkan rasa,” kongsinya.

Bagi yang ketinggalan atau ingin terus memberikan sokongan, kesemua episod Thariq Ridzuan: His Treasure kini sudah boleh ditonton menerusi platform Astro One dan sooka.

Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara.
Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini

Kredit Foto: Instagram Meerqeen & Qasrina Karim

Published by
Aizam Manaf